ABDUL Razak (tengah) melihat durian Musang King.
ABDUL Razak (tengah) melihat durian Musang King.
JARING digunakan bagi mengelak durian Musang King rosak dan pecah.
JARING digunakan bagi mengelak durian Musang King rosak dan pecah.
MOHD Ali (kiri) memantau kebun durian Musang King milik Lim.
MOHD Ali (kiri) memantau kebun durian Musang King milik Lim.
POKOK durian Musang King.
POKOK durian Musang King.
Mohamad Hussin dan Mohd Rafi Mamat


Walaupun harganya RM35 hingga RM85 sekilogram, durian Musang King tetap laris di pasaran dan menjadi rebutan penggemar raja buah di seluruh negara.

Ini menjadikan durian itu yang turut dikenali sebagai Raja Kunyit daripada varieti D197 berpotensi tinggi untuk ditanam pengusaha dusun di seluruh negara.

Penolong Pegawai Pertanian (Unit Hortikultur), Pejabat Pertanian Daerah Raub, Mohd Ali Hanafiah Mazlan berkata, Musang King antara jenis durian popular masa kini.

Beliau berkata, isinya yang kuning terang, manis, sedikit pahit dan rasanya berlemak menjadikan Musang King sentiasa mendapat sambutan hangat.

“Bijinya yang nipis dan isi tebal membuatkan Musang King puas dinikmati,” katanya.

Mohd Ali berkata, bagi menjamin ketulenan baka, kaedah pembiakan vegetatif perlu dijalankan seperti teknologi cantuman dewasa durian dan anak benih pokok cantuman.

“Ada pelbagai kaedah boleh digunakan untuk menghasilkan bahan tanaman seperti cantuman mata tunas, patch ranting, baji dan teknik sanding.

“Sistem pengairan perlu diwujudkan bagi menjamin tahap keperluan air sentiasa mencukupi untuk keperluan pokok. Antara keperluan air untuk tanaman durian di kawasan Raub ialah sebanyak 37 liter/pokok sehari untuk peringkat mula menanam.

“Sebanyak 127 liter/pokok sehari untuk peringkat vegetatif dan sebanyak 327 liter/pokok untuk peringkat pokok matang. Sistem pengairan yang diamalkan ialah jenis renjis,” katanya.

Menurutnya, pembajaan diperlukan bagi membekalkan nutrien yang seimbang dengan keperluan pokok.

“Antara jenis baja yang digunakan ialah baja campuran NPK, baja Foliar Kimia - Foliar High K, Foliar Calcium, baja Organik-Kompos, Foliar organik - Plant Booster dan Acid Amino.

“Jarak tanaman yang disyorkan ialah 9 meter x 9 meter antara pokok dan baris dan sistem empat segi sama dengan kepadatan 123 pokok sehektar bagi mengoptimumkan keperluan cahaya kepada tanaman dan pengudaraan yang lancar.

“Cantasan dan pemangkasan perlu dijalankan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan kualiti tanaman. Dahan yang bertindih, rosak dan tidak seimbang perlu dibuang bagi mengelak risiko penyakit dan perosak serta dapat membentuk zon buah yang sihat dan konsisten,” katanya.

Menurut Mohd Ali, penjarangan putik buah perlu dilakukan bagi memastikan jumlah buah yang dihasilkan mengikut umur pokok.

“Pemilihan perlu dijalankan bagi membuang putik buah yang bertindih atau rosak atau rupa yang abnormal (bengkok dan tidak simetri).

“Buah durian mula gugur dalam tempoh 95 hingga 115 hari daripada anthesis (bunga kembang) mengikut jenis varieti. Aplikasi teknologi jaring pukat dan teknologi mengikat buah dapat menjaga mutu dan kualiti buah itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang, Hasan Jusoh berkata, promosi berterusan oleh FAMA antara faktor durian Musang King terus terkenal dan mendapat sambutan menggalakkan walaupun harganya agak mahal.

Menurutnya, di Pahang ada lebih 5,000 pekebun berdaftar yang mengusahakan tanaman durian jenis Musang King di beberapa daerah dan jumlah itu dijangka terus bertambah secara berperingkat.

“Pekebun durian kini perlu beralih dengan menanam Musang King. Mereka boleh terus menanam benih durian itu atau dengan cara cantuman membabitkan pokok dewasa seperti yang banyak dilakukan kini,” katanya.

Seorang pengusaha durian di Raub, Lim Chin Khee, 42, berkata, dia menggunakan teknik cantuman pokok durian Musang King pada pokok induk durian D24.

“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Bagi mengenal pasti buah durian Musang King, perhatikan di bahagian bawah buahnya ada bentuk bintang atau tapak sulaiman berwarna coklat.

“Ada tiga gred durian Musang King iaitu A (bentuk bulat dan besar), B (buah sederhana kecil, bengkok dan tidak sama rata) manakala C (buah kecil, ada kesan ulat atau ditebuk),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 5:02 AM