ZUKANOVIC (kiri) dan Ahmetovic melarikan diri pada 2 Jun lalu. FOTO Italian police
ZUKANOVIC (kiri) dan Ahmetovic melarikan diri pada 2 Jun lalu. FOTO Italian police
Agensi

ROM: Media Itali melaporkan kes pelik dua tahanan yang lolos dari Penjara Rebibbia di sini dengan meninggalkan sepucuk surat menjelaskan alasan melarikan diri dan berjanji segera kembali ke sel tahanan mereka.

David Zukanovic, 40, dan sepupunya, Lil Ahmetovic, 46, yang menjalani hukuman penjara melarikan diri dengan memotong palang tingkap sel penjara pada 2 Jun lalu.

Portal Oddity Central melaporkan selepas memotong palang sel, mereka keluar melalui saluran paip pili bomba sebelum memanjat dinding luar dan memotong kawat duri.

Aksi seakan-akan filem Hollywood itu lebih menarik apabila mereka turut meninggalkan surat di sel penjara dan menjelaskan mempunyai masalah keluarga dan berjanji kembali dalam tempoh 15 hari.

Melalui surat kepada pegawai penjara itu, Zukanovic dan Ahmetovic mendakwa mereka harus melarikan diri bagi melindungi anak mereka daripada perniagaan jahat.

Mereka juga mendakwa hanya mereka dapat melakukannya perkara itu berikutan isteri masing-masing juga dipenjarakan.

Melalui surat itu, mereka mengakui sedia menyerah diri dan berdepan pihak berkuasa kehakiman sebaik masalah peribadi selesai.

Polis Itali tidak meragui ketulenan surat itu berikutan dijumpai di dalam sel tempat mereka melarikan diri dan ada cap jari di atasnya, tetapi mereka menghadapi masalah mempercayai janji kembali semula.

Disebabkan itu, polis memburu kedua-duanya sehingga kini.

Zukanovic dan Ahmetovic menjalani hukuman penjara yang berakhir pada 2029 kerana melakukan jenayah tanpa kekerasan membabitkan penipuan dan menerima barang curi.

Walaupun mereka menunaikan janji di dalam surat itu, mereka akan berdepan hukuman tambahan iaitu penjara lima tahun kerana melarikan diri.

Berdasarkan video pengawasan penjara, pergerakan mencurigakan dikesan jam 3 pagi memandangkan kakitangan hanya menyedari ketiadaan dua saudara itu menjelang siang.

Polis mengedarkan gambar kedua-duanya dan mereka masih belum ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 6:30 AM