FARID meneruskan pengembaraannya di Istanbul, Turki.
FARID meneruskan pengembaraannya di Istanbul, Turki.
Agensi

Dubai: Farid Feyadi hanya berada 150 kilometer (km) dari sempadan Arab Saudi apabila pihak berkuasa negara itu dan Jordan menutup pintu sempadan bagi menyekat penularan wabak Covid-19, sekali gus menghentikan sementara misinya.

Pereka fesyen berusia 40 tahun itu yang juga pejuang kanser dalam misi berjalan ke Makkah untuk menunaikan haji selain menyebar mesej keamanan.

Gulf News melaporkan Farid rakyat Britain berkelana sejauh 4,600km dari London, namun kini terperangkap di Jordan dan ditempatkan di apartmen di Amman.

Dia tiba di negara itu pada 3 Mac lalu dan lebih dua bulan terperangkap, tetapi tetap menunggu hingga berjaya menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

"Saya mungkin lelaki pertama dalam sejarah berjalan dari London ke Makkah. Ramai yang anggap saya gagal melaksanakan misi ini tetapi akhirnya saya di sini, dalam fasa akhir perjalanan," katanya dalam temu bual menerusi panggilan telefon.

Lelaki itu yang menghidap kanser buah pinggang dan hilang satu daripadanya memberitahu, dia menggunakan dana sendiri untuk projek berkenaan sejak 3 November 2019.

FARID Feyadi (kanan) bersama kumpulan pelukis di Lombardy, utara Itali.
FARID Feyadi (kanan) bersama kumpulan pelukis di Lombardy, utara Itali.

Katanya yang membina karier di Manchester, secara purata dia mampu berjalan antara 30 ke 60km sehari dan susut berat badan 27 kilogram dalam tempoh itu.

"Paling lama saya berjalan sejauh 83km dan tidur dalam khemah menjelang malam. Beberapa kali juga diganggu babi liar dan serigali yang menceroboh," katanya yang pernah digigit anjing ketika dalam perjalanan di kawasan kampung di Albania.

Farid berkata, hampir keseluruhan misinya berjalan dan hanya dua kali dia menaiki pengangkutan awam iaitu feri ke Calais, Perancis dan mengambil pesawat dari Ankara, Turki ke Amman bagi mengelak melalui negara berkonflik, Syria dan Iraq.

Misi itu merentasi 11 negara termasuk Itali, Slovenia, Croatia, Bosnia, Montenegro, Albania, Greece, Turki dan Jordan. Farid tidak mahu mensia-siakan peluang itu kerana dia mahu memperbetulkan persepsi negatif masyarakat dunia terhadap Islam.

"Saya berjalan dalam hujan dan salji berjam-jam tetapi semangat serta harapan tidak pernah goyah," katanya yang bercadang merakamkan misi itu dalam buku.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 7:01 AM