ANGGOTA bomba menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian di Kampung Binsuluk, Membakut. FOTO Juwan Riduan
ANGGOTA bomba menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian di Kampung Binsuluk, Membakut. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


"SAYA terbangun apabila terdengar suara isteri dan anak yang menjerit meminta kami keluar untuk menyelamatkan diri sebaik rumah terbakar.

"Saya cuba membantu tetapi gagal kerana api ketika itu marak dan suara juga tidak kedengaran," kata Othman Ali, 64, suami kepada Aishah Awang Jumat, 58, yang terkorban selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Binsuluk, Membakut, hari ini.

Turut terkorban, empat anaknya iaitu Dzulkarnain Othman, 34; Dzulnisham, 27; Rozaini, 26; dan Rosdi, 24.

Seorang lagi anaknya dan menantunya berusia 29 dan 25 tahun cedera melecur di kaki dan kini dirawat di Hospital Beaufort manakala Othman dan seorang lagi anak lelakinya berusia 31 tahun selamat.

Mencerita kejadian itu, Othman berkata, sebelum kejadian dia berada bilik di tingkat bawah yang dijadikan pejabatnya manakala isterinya menyiapkan sedikit juadah untuk menyambut 1 Syawal.

"Ketika di bilik pejabat, saya terlelap namun terjaga apabila mendengar suara jeritan isteri dan anak meminta kami menyelamatkan diri.

"Saya kemudian bangun dan cuba menyelamatkan isteri dan anak. Ketika itu, saya masih terdengar suara isteri anak.

"Ketika cuba membuka bilik, suara isteri dan anak sudah tidak kedengaran. Saya cuba memanggil dan memadam api namun tidak mampu berbuat apa-apa kerana api semakin marak," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, sebelum kejadian arwah isteri sedang memasak untuk juadah keluarga yang akan datang berziarah sempena Aidilfitri tahun ini.

"Sejak beberapa hari lalu, isteri sangat mengambil berat perihal saya dan anak-anak. Saya tidak menyangka isteri meninggal kami buat selama-lamanya lebih-lebih lagi di bulan Syawal.

"Walaupun berat dugaan kehilangan isteri dan empat anak saya... ia sudah takdir dan saya reda dengan ujian serta menerima qada qadar," katanya.

Sementara itu, adik kepada Aishah, Matsetia Awang Jumat, 40, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan oleh beberapa jirannya yang mengatakan rumah kakaknya terbakar.

"Saya dan keluarga bergegas ke lokasi kejadian namun keadaan rumah kakak sudah musnah. Lebih menyedihkan kakak dan empat anaknya turut terkorban.

"Sepatutnya pagi ini, saya dan adik beradik lain ke rumah Aishah untuk berziarah sempena Aidilfitri kerana hampir dua bulan tidak menemuinya disebabkan wabak Covid-19," katanya.

Berita berkaitan:

  • Lima beranak rentung
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2020 @ 5:18 PM