GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang jurujual hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang di sini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual dan menghasilkan pornografi seorang remaja perempuan yang baru dua minggu dikenalinya di laman sosial Instagram.

Bagaimanapun, Anthony John Vadaniagam, 19, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Lelaki itu didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dengan memeluk dan mencium remaja berumur 15 tahun itu dan satu kesalahan berhubung pornografi dengan cara menghasilkan gambar bogel mangsa sama di kondominium di Bandar Baru Ampang antara 12.30 hingga 12.50 tengah hari Jun lalu.

Bagi dua kesalahan melakukan amang seksual, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan manakala bagi kesalahan pornografi, kesalahan adalah mengikut Seksyen 5 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan minimum enam kali sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Majistret Normaizan Rahim, Anthony juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki gambar bogel remaja berkenaan di tempat sama pada awal Jun hingga 12 Oktober lalu dan dituduh mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan bersalah.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim dan Nur Intan Syakieraah Zakaria tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kes itu adalah serius dan tidak boleh dijamin, namun tertuduh memohon jaminan diberikan atas alasan dia penanggung tunggal keluarga dan bapanya baru meninggal akibat angin ahmar.

Tertuduh kemudian dibenar diikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin bagi kesemua pertuduhan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 4:55 PM