Nor Fazlina Abdul Rahim


SERAMAI 20 kontak kepada wanita hamil yang positif Covid-19 termasuk kanak-kanak berusia tiga tahun didapati negatif dalam ujian saringan yang dilakukan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, seramai 10 lagi kontak dengan pesakit berkenaan akan menjalani ujian saringan.

"Alhamdulillah, setakat ini hanya dia (wanita hamil) seorang yang positif Covid-19, manakala 20 kontak termasuk anak mangsa berusia tiga tahun adalah negatif.

"Kita tidak menolak kemungkinan mangsa mendapat virus berkenaan daripada suami memandangkan mangsa adalah suri rumah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas di Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, walaupun wanita berkenaan positif, namun dia boleh bersalin secara normal dan tidak perlu kepada pembedahan.

"Selepas bersalin, kita perlu menjalani ujian kepada bayinya yang turut berkemungkinan dijangkiti (Covid-19). Apapun kita akan memberikan perkhidmatan yang terbaik," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, semua kontak wanita hamil berkenaan perlu berada di rumah termasuk ketika Aidilfitiri akan datang.

"Kita akan memastikan kesemua mereka kekal di rumah dan tidak menerima sebarang tetamu ketika Aidilfitri. Pihak polis akan menjalankan pemeriksaan terhadap kesemua premis itu, mungkin setiap dua jam sekali supaya mereka kekal di rumah.

"Pada masa sama, saya juga menasihatkan semua pihak supaya bersabar kerana sekatan jalan raya di sempadan negeri mungkin mengalami kesesakan teruk disebabkan ujian saringan Covid-19," katanya.

Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Laporan portal Harian Metro sebelum ini.

Berita berkaitan:

  • 'Tolong jangan kecam anak saya'
  • Kes Covid-19 baru di Kelantan satu tragedi
  • Wanita mengandung bawa pulang Covid-19 ke Kelantan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 4:04 PM