BANGUNAN Pos Malaysia. FOTO Zunnur Al Shafiq
BANGUNAN Pos Malaysia. FOTO Zunnur Al Shafiq
Bisnes HM


POS Malaysia Berhad (Pos Malaysia) dalam proses transformasi untuk memulihkan perniagaannya dan memastikan masa depan pekerjanya dilindungi walaupun terjejas dengan penularan Covid-19.

Penyedia perkhidmatan pos nasional itu berkata, dengan pelan transformasi berjalan lancar dan situasi bertambah baik, pihaknya akan memastikan ganjaran yang lebih baik kepada kakitangannya.

"Ketika ini, perniagaan sedang menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu dan Pos Malaysia akan terus menjalankannya tanggungjawab serta berkhidmat untuk negara sebagai penyedia perkhidmatan penting dalam tempoh mencabar ketika ini.

"Semangat ini tertanam dalam DNA kami dan menjadi tanggungjawab di bawah Obligasi Perkhidmatan Sejagat (USO).

"Kami juga berterima kasih atas usaha kolektif pekerja, yang berusaha gigih memastikan penghantaran dan perkhidmatan dilakukan dengan gangguan minimum terutama menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan kedudukan syarikat dalam berdepan persekitaran yang mencabar ketika ini selepas terdapat hantaran di sosial media yang mempertikaikan operasi Pos Malaysia.

Katanya, pandemik Covid-19 adalah isu global yang menjejaskan rantaian bekalan global, menyebabkan kelemahan dan penutupan perniagaan serta kehilangan nyawa dan Malaysia tidak terkecuali daripada berdepan krisis global itu.

"Walaupun terdapat peningkatan dalam jumlah bungkusan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perniagaan lain Pos Malaysia iaitu mel, bungkusan antarabangsa, Pos Aviation, Pos Logistics dan lain-lain terjejas.

"Namun, kami akan terus melindungi kehidupan lebih 15,000 barisan hadapan dan pekerja sokongan operasi serta memastikan keperluan mereka diutamakan," katanya.

Pos Malaysia juga memerlukan sokongan berterusan daripada rakyat dan berharap mereka memahami kesukaran yang dihadapi dalam tempoh mencabar ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 1:12 PM