Sri Ayu Kartika Amri


PERMINTAAN menghantar bungkusan (parcel) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan peningkatan mendadak susulan aktiviti pembelian dalam talian.

Pengurus Kanan Pick Up & Delivery Pos Malaysia, Mohd Azilah A Rahim berkata, pihaknya turut menerima peningkatan jumlah pesanan Pos Laju sebanyak 35 peratus sepanjang PKP ini.

"Kami menerima sehingga 770,000 bungkusan sehari dan jumlah ini meningkat melebihi kapasiti biasa Pos Laju iaitu 350,000 bungkusan sehari.

"Sebenarnya Pos Malaysia dan Pos Laju mempunyai banyak pengalaman untuk menghadapi waktu kritikal seperti ini.

"Oleh itu, kami menambah fasiliti pemprosesan supaya semua barang yang diterima dapat diserahkan kepada pelanggan," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, berikutan peningkatan jumlah bungkusan dan waktu perniagaan disingkatkan sepanjang PKP, penghantaran dijangka mengalami sedikit kelewatan.

Mohd Azilah berkata, untuk memenuhi permintaan pelanggan, penghantaran turut dilakukan pada hari Ahad dan kakitangan serahan Pos Laju bertugas bermula 8.30 pagi hingga 7 petang.

"Khidmat tambahan ini mengelakkan berlaku lambakan bungkusan di pusat Pos Laju dan mempercepatkan proses penghantaran kepada penerima," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga menasihatkan pelanggan yang membuat pembelian dalam talian untuk menetapkan alamat rumah terkini.

"Ini adalah kerana penyerahan tidak dapat dilakukan kepada premis pejabat atau perniagaan yang ditutup semasa PKP.

"Kami juga menggunakan perkhidmatan AskPos, ejen pintar maya di laman sesawang kami bagi memudahkan pelanggan kemas kini alamat," katanya.

Sementara itu, bagi memudahkan pelanggan membuat pembayaran bil utiliti, telekomunikasi, Internet atau memperbaharui insurans kenderaan dan perjalanan, ia boleh dibuat melalui atas talian (posonline.com.my) tanpa perlu hadir ke pejabat pos.

KAKITANGAN Pos Laju Malaysia bertugas seperti biasa ketika PKP. FOTO Amirudin Sahib.
KAKITANGAN Pos Laju Malaysia bertugas seperti biasa ketika PKP. FOTO Amirudin Sahib.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 10:54 AM