ORANG ramai mula memakai pelitup muka di kawasan tumpuan sekitar di Georgetown. FOTO Zuhainy Zulkiffli
ORANG ramai mula memakai pelitup muka di kawasan tumpuan sekitar di Georgetown. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Pemakaian pelitup muka dan penggunaan cecair pembasmi kuman sudah menjadi norma baharu sejak pandemik Covid-19 melanda negara tiga tahun lalu.

Tinjauan Harian Metro di beberapa lokasi tumpuan sekitar Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) mendapati, orang ramai kembali memakai pelitup muka di tempat awam.

Namun ada juga segelintir individu yang mendakwa mereka tidak memakai pelitup muka tetapi masih melakukan penjarakan selamat dengan individu lain.

Pekerja swasta Kimmy Chee Lei Kah, 29, berkata, dia baharu sahaja selesai menjalani kuarantin akibat dijangkiti Covid-19, dua minggu lalu selepas mengalami batuk, selesema dan demam yang serius.

Katanya, dia mengesyaki dijangkiti virus itu selepas pulang dari berkunjung ke pusat beli-belah terkemuka.

"Mungkin ia kesilapan saya dan sejak itu, kami sekeluarga kembali memakai pelitup muka dan mengenakan cecair pembasmi kuman selain mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 seperti yang pernah kita lakukan ketika pandemik.

"Selepas pulih daripada Covid-19, memang sedikit trauma kerana badan terasa sangat lemah, jadi saya harap masyarakat dapat mengekalkan norma baharu berikutan kenaikan kes pada masa ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, tinjauan di beberapa farmasi mendapati tidak berlaku pembelian panik pelitup muka, kit ujian pantas dan cecair pembasmi kuman.

Pengurus Cawangan Farmasi Jion, Lim Yong Chun berkata, pada masa ini bekalan pelitup muka di farmasi berkenaan adalah mencukupi dan tidak berlaku kenaikan harga.

Katanya, kit ujian pantas antara produk yang menjadi permintaan di farmasi itu sejak beberapa bulan lalu diikuti dengan cecair pembasmi kuman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 2:44 PM