RAYSHA Rizrose
RAYSHA Rizrose
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Pelakon Raysha Rizrose belum ada sebarang perancangan untuk mendirikan rumah tangga selepas kakaknya yang juga pelakon popular, Uqasha Senrose berkahwin sebelum ini.

Raysha yang juga kekasih pelumba kereta Formula 3, Nabil Jeffri berkata, dia tahu selepas Uqasha bernikah baru-baru ini,  tumpuan kini akan beralih kepadanya.

"Tekanan itu pasti wujud, tapi apabila orang tanya saya anggap ia satu doa. Saya belum ada sebarang perancangan untuk mendirikan rumah tangga dalam waktu terdekat ini. Saya tak nak terlalu terburu-buru dalam soal perkahwinan. Keutamaan saya sekarang adalah kepada kerjaya dan keluarga," katanya kepada Harian Metro. 

Menurut Raysha, biarpun hubungan cintanya dengan Nabil sudah terjalin dalam tempoh yang agak lama, dia tidak bimbang seandainya hubungan terbabit tidak kesampaian atau berdepan sebarang dugaan. 

"Sejujurnya tiada langsung perasaan itu sebab saya percaya dengan ketentuan Ilahi. Kalau sudah tertulis jodoh saya dengan dia, ia pasti akan berlaku. 

"Kalau ada jodoh adalah. Saya percaya dengan waktu tepat yang Allah sudah rancang untuk kami berdua. Insha-Allah apabila waktu itu sudah tiba, saya dengan gembiranya akan kongsikan kepada semua," katanya. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 2:12 PM