NIK Suriyati sedang menyiapkan tempahan pakaian pelanggan di rumahnya di Felda Chiku 5. FOTO Paya Linda Yahya
NIK Suriyati sedang menyiapkan tempahan pakaian pelanggan di rumahnya di Felda Chiku 5. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya

Gua Musang: Keterbatasan pergerakan kerana kecacatan kedua-dua tangan dan kaki tidak menghalang seorang wanita orang kurang upaya (OKU) untuk mencari rezeki dengan mengambil upah menjahit pakaian wanita dan lelaki.

Malah, Nik Suriyati Zakaria, 36, yang menerima Anugerah Tokoh Usahawan OKU Peringkat Kelantan pada April lalu ternyata cekal apabila mampu meraih sehingga RM1,000 sebulan.

Nik Suriyati yang mesra dipanggil Angah berkata, dia akan menjahit antara 10 hingga 20 pasang baju sebulan yang dihantar pelanggan.

"Upah menjahit yang diterima bergantung kepada jenis baju yang ditempah pelanggan dengan anggaran harga antara RM35 hingga RM100 sepasang.

"Setiap bulan saya menerima tempahan antara 10 sehingga 20 pasang dan jumlah itu akan meningkat pada musim perayaan sehingga 50 pasang," katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Chiku 5, di sini, hari ini.

Katanya, dalam keadaan dirinya bergelar OKU, dia bersyukur kerana mampu mencari pendapatan sendiri sekali gus sedikit-sebanyak dapat membantu keluarga.

"Alhamdulillah, saya tidak perlu bergantung kepada orang lain. Pendapatan yang saya dapat dengan mengambil upah menjahit pakaian cukup untuk menampung keperluan diri.

"Minat dan bakat menjahit pakaian ini timbul ketika saya belajar di tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Chiku.

"Atas dorongan daripada guru, keluarga dan rakan-rakan akhirnya saya mengikuti kursus di bengkel Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sehingga mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Dua," katanya.

Menurutnya, dia mendapat bantuan mesin jahit daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kini memiliki alatan menjahit yang lengkap.

Katanya, ketika ini dia berhasrat untuk membuka bengkel menjahit di rumahnya, namun terbengkalai kerana masih kekurangan modal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2022 @ 3:30 PM