Rudy Imran Shamsudin

KEJUTAN apabila Hael Husaini kembali berkolaborasi dengan Dayang Nurfaizah menerusi lagu Hari Ini yang sebelum ini dirakam secara solo.

Hari Ini ciptaan dan nyanyian Hael dilancarkan pertengahan tahun ini dan tiada siapa tahu ada perancangan duet.

Malah, Hael dan Dayang tidak pernah menceritakan rancangan itu kepada umum.

Kejutan membabitkan projek itu kemudian disusuli dengan video muzik.

Menerusi klip video terbabit, Hael dan Dayang ditampilkan sebagai pasangan kekasih yang baru bernikah dan sedang menikmati bulan madu.

Kebanyakan peminat yang menonton video muzik di laman sosial YouTube terbuai dengan kemesraan ditonjolkan pasangan duet popular berkenaan.

Lagu Hari Ini digubah dan dinyanyikan kembali oleh Hael bersama Dayang sebagai lagu tema untuk program Mahligai Cinta terbitan TV3.

Ketika dihubungi mengenai projek duet itu, Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi berkata, pihak penerbitan Mahligai Cinta mahu menjadikan Hari Ini sebagai lagu tema program itu.

“Namun, mereka mahu lagu itu dirakam semula secara duet.

“Ketika itu, tiada orang lain yang saya rasa paling sesuai kecuali Dayang,” katanya.

Sebagai komposer muda yang pernah berkerja dengan ramai penyanyi wanita popular, Hael punya banyak pilihan selain Dayang.

Antara penyanyi itu ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Indah Ruhaila, Aishah, Nabila Razali dan ramai lagi.

Malah ada antara nama disebutkan pernah berduet dengan komposer dan penyanyi kacak itu di media sosial tetapi mengapa Dayang menjadi pilihan?

Bukankah ia secara tidak langsung menguatkan lagi gosip dia dan Dayang menjalin hubungan istimewa?

“Bagi menjelaskan perkara ini hanya satu jawapan saya boleh berikan iaitu Dayang penyanyi wanita paling tepat untuk lagu ini.

“Saya lebih selesa bekerja dengan Dayang yang sangat profesional jika berduet,” kata Hael.

Melihat kemesraan yang ditonjolkan Hael mahupun Dayang dalam video muzik Hari Ini, ramai yakin ada sesuatu antara mereka.

Apatah lagi, peminat setia Dayang tahu penyanyi hebat itu agak kaku apabila perlu berlakon depan kamera.

Namun, keadaan berbeza apabila dia bersama Hael. Dayang seakan-akan berada dalam dunia realiti dan tampak sangat natural.

Diminta memberikan komen perkara itu, Hael ketawa seraya meminta orang ramai mendoakan yang baik-baik buat dirinya dan Dayang.

“Apa yang boleh saya katakan Dayang buat saya rasa sangat selesa setiap kali kami bekerjasama,” katanya.

Apabila dimaklumkan Dayang berkata Hael sebenarnya yang membuatkan penyanyi wanita itu berasa selesa hingga tidak kekok melakonkan watak pasangan bercinta dalam video muzik itu, Hael berkata, mereka saling memahami diri masing-masing ketika bekerja dan ia secara tidak langsung menyumbang kepada kelancaran penggambaran.

“Tanyalah Dayang sendiri apa yang dia buat sepanjang sesi penggambaran Hari Ini sehingga kami betul-betul nampak seperti sepasang kekasih.

“Kalau betul saya yang pandai ajar dia berlakon, tentu sudah lama saya jadi pelakon,” katanya.


Sementara itu,Dayang sewaktu ditemubual mengakui menerima tawaran berduet dengan Hael kerana meminati lagu Hari Ini.

“Lagipun peminat banyak bertanya bila kami akan berduet lagi.

“Masalahnya kami belum dapat lagu sesuai. Apabila Hael ajak berduet lagu Hari Ini, saya terus bersetuju.

“Tambahan pula Hael datang kepada saya dengan lagu yang sudah digubah dan bahagian mana yang perlu saya nyanyikan pun juga sudah disiapkan.

“Pendek kata, dia dah tahu apa yang terbaik dan saya hanya tinggal nyanyi saja,” katanya.

Menyentuh mengenai paparan romantis antara dia dan Heal menerusi video muzik itu, kata Dayang, pada awalnya dia risau apabila produksi mahukan babak sedemikian sedangkan dia tidak pandai berlakon.

“Komen yang mengatakan saya nampak natural di samping Hael, sebenarnya dia yang pandai dan banyak bagi panduan kepada saya. Dia ajar saya bagaimana mahu melakukannya.

“Lagipun, sudah lama saya kenal rapat dengan Hael jadi tidak rasa kekok,” katanya.

Mengulas dakwaan dia bercinta dengan Hael, kata Dayang, perkara itu sudah banyak dijelaskan.

“Diakui Hael antara rakan lelaki paling rapat dan saya selesa bersamanya.

“Kalau mahu cakap lebih, biarlah dulu. Doakan perkara yang positif untuk kami berdua dan teruskan menyokong apa yang kami buat.

“Lagu duet Hari Ini adalah hadiah buat mereka yang menunggu buah tangan terbaharu daripada kami berdua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 6:01 AM