FADZIL kagum dengan pelakon Sara Sajeeda terutama Tiz Zaqyah yang memberikan komitmen penuh sepanjang penggambaran. FOTO Instagram Fadzil Teh
FADZIL kagum dengan pelakon Sara Sajeeda terutama Tiz Zaqyah yang memberikan komitmen penuh sepanjang penggambaran. FOTO Instagram Fadzil Teh
Rudy Imran Shamsudin


BUKAN sengaja mahu mencetus kontroversi untuk menarik perhatian penonton, sebaliknya Pengarah Urusan Zeel Production Sdn Bhd (ZPSB), Fadzil Teh menegaskan luahan dimuat naik di laman sosial miliknya itu dibuat kerana kerana geram dengan kerenah pelakon yang bersikap memilih dan menyusahkan pihak lain.

Sebelum itu, Fadzil menyelar artis wanita popular tempatan tanpa menyebut nama, yang memilih untuk membintangi mini siri drama Sara Sajeeda ditayangkan di TV3, jam 10 malam ini, hanya kerana lokasinya diadakan di Pakistan, selama dua minggu.

Luahnya, sekiranya lokasi penggambaran diadakan di negara tumpuan seperti Eropah, mereka tidak akan banyak ‘cerita’ dan senang saja memberikan persetujuan.

“Tidak perlulah saya menyatakan siapakah artis wanita terbabit. Tapi cukuplah kalau saya katakan mereka itu adalah pelakon wanita gred A.

“Lama saya simpan perasaan geram itu, tetapi akhirnya terkeluar juga selepas melihat persembahan diberikan Tiz Zaqyah cukup memberangsangkan sebagai Sara Sajeeda,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut sewaktu dihubungi, apa yang membuat Fadzil kecewa apabila ditawarkan berlakon dalam Sara Sajeeda, kebanyakan pelakon wanita gred A itu berkata, mereka suka akan watak dan jalan cerita tetapi di saat akhir menolak hanya kerana penggambaran diadakan di Pakistan selama dua minggu.

Katanya, apabila pelakon terbabit menolak ia menimbulkan masalah kepada produksi mereka.

“Jujur saya katakan Tiz Zaqyah adalah pilihan terakhir tetapi persembahan lakonan yang diberikan dalam Sara Sajeeda sangat mengagumkan produksi. Pada saya apa yang berlaku adalah satu rahmat sebenarnya.

“Saya meluahkan perkara terbabit sebenarnya untuk menceritakan situasi kami hadapi sehinggalah kehadiran Tiz Zaqyah, yang memberikan komitmen penuh, walaupun berlakon di Pakistan.

“Dia juga berasa seronok sepanjang berada di sana. Pakistan sebuah negara membangun dan tidaklah mundur seperti apa yang pelakon lain fikirkan sebelum ini,” katanya.

Drama Sara Sajeeda menggabungkan pelakon tempatan dan Pakistan, selain Tiz turut membintangi mini siri drama itu seperti Alizeh Shah, Arslan Asad Butt, Fahrin Ahmad, Rita Rudaini, Aidit Noh, Tasha Shilla, Datuk Yusof Haslam, Mas Anizan, Nisho Begum, Saima Saleem, Aliha Chaudry, Isha Noor dan Farhan Ali Mali.

Kata Fadzil, ada pelakon seperti Mimi Lana dan Siti Elizad menolak tawaran diberikan untuk memegang watak Sara Sajeeda, tetapi mereka terlebih awal memberitahu tidak yakin untuk berdialog dalam bahasa Inggeris.

“Apabila mereka memberitahu awal dan alasan seperti itu, sebagai penerbit saya faham.

“Mereka tidak mahu memberikan masalah kepada produksi atas kelemahan diri dan bukan kerana berasakan Pakistan sebuah negara mundur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 8:06 PM