Jenazah Pitt Hanif dibawa ke KL malam ini selepas selesai dibedah siasat. FOTO Bernama
Jenazah Pitt Hanif dibawa ke KL malam ini selepas selesai dibedah siasat. FOTO Bernama
BERNAMA

JENAZAH pengarah filem yang juga mangsa lemas di Sungai Jelai, Kuala Lipis dituntut keluarganya selepas selesai dibedah siasat di Hospital Kuala Lipis, 10.30 malam ini.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azli Mohd Noor berkata, jenazah Mohd Firdaus Mohamad Hanif, 43, dibawa keluarganya ke Kuala Lumpur bagi urusan pengebumian selepas dituntut.

“Keputusan bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Jenazah mangsa ditemui terapung oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bukit Angin, 500 meter dari lokasi kejadian pada 4.25 petang tadi, selepas operasi mencari dan menyelamat masuk hari kedua hari ini.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, Pitt dikatakan memancing bersama seorang lagi rakannya.

Bagaimanapun bot gentian kaca dinaiki mereka dikatakan pecah dipercayai melanggar tiang jambatan sebelum dia dihanyutkan arus sungai manakala rakannya dapat diselamatkan.

Pitt dilaporkan dalam fasa terakhir menyiapkan sesi penggambaran filem Coast Guard yang memulakan penggambaran sejak lebih dua bulan lalu.

pitthanifsusulan >

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 11:59 PM