FAUZIAH akui Pitt (gambar kecil) tidak pernah meninggi suara dengannya. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
FAUZIAH akui Pitt (gambar kecil) tidak pernah meninggi suara dengannya. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Sudirman Mohd Tahir

PELAKON veteran Fauziah Nawi berkongsi arwah anaknya yang juga pengarah, Mohd Firdaus Mohd Hanif atau Pitt Hanif tidak pernah meninggikan

suara kepadanya.

Perkara itu dikongsikan Fauziah di Instagram yang juga luahan hatinya selepas lima hari pemergian arwah.

“Alhamdulillah, syukur kerana meminjamkan Allahyarham Mohd Firdaus Hj Mohd Hanif kepada saya, ibunya ya Allah.

“Hari ini hari kelima Pitt Hanif tinggalkan mama. Pitt anak yang baik, tak pernah meninggikan suara dan mempertahankan diri Pitt biar apa pun mama cakap.

“Mama reda Pitt. Cuma satu mama nak cakap, Pitt memang berpakat dengan arwah baba tinggalkan mama. Tak apa Pitt, mama reda,” katanya.

Pitt yang masih dalam penggambaran filem Coastguard ditemui lemas selepas bot dinaiki bersama rakan, Sham Mokhtar, 38, terbalik dan terbelah dua ketika mereka memancing di Sungai Jelai, Kampung Mela, Lipis, Pahang, Sabtu lalu.

Dalam kejadian 11 pagi itu, bot fiber yang dinaiki mereka dikatakan merempuh tiang besi sebuah jambatan menyebabkan Pitt dan Sham tercampak ke dalam sungai.

Sham yang juga Pengarah Fotografi filem itu berjaya menyelamatkan diri namun Pitt yang cuba berenang dibawa arus deras sebelum tenggelam.

Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemui mayat Pitt jam 4.25 petang, Ahad lalu kira-kira 500 meter dari lokasi dia terjatuh.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2, Keramat, Kuala Lumpur jam 2 pagi, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 1:25 PM