PENDAKI yang dibantu turun ketika mendaki di Gunung Rajah di Bentong. FOTO ihsan Bomba
PENDAKI yang dibantu turun ketika mendaki di Gunung Rajah di Bentong. FOTO ihsan Bomba
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


KEGEMBIRAAN sembilan pendaki menawan Gunung Rajah di Bentong sempena cuti hujung minggu bertukar duka apabila tiga daripada mereka mengalami kecemasan, semalam.

Difahamkan kumpulan pendaki itu dalam perjalanan turun ke kem induk Gunung Rajah membabitkan dua pendaki lelaki dan seorang pendaki wanita di kawasan Lata Naning di laluan pendakian Gunung Rajah.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.32 malam.

“Kita dapat maklumat mereka mengalami lemah badan, muntah dan kekejangan otot.

“Sembilan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong bergegas ke lokasi bagi melakukan usaha menyelamat mangsa,” katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Anuar berkata, misi menyelamat turut dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk yang mana perjalanan mengambil masa kira-kira lima jam untuk ke Lata Naning.

Katanya, sebaik tiba pihaknya memberi rawatan awal sebelum mereka dibantu untuk dibawa turun.

Beliau berkata, semua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut dan operasi tamat, 5.40 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 1:13 PM