TRAGEDI Pos Dipang  terus diingati antara bencana alam terburuk dalam negara sebelum ini. FOTO NSTP
TRAGEDI Pos Dipang terus diingati antara bencana alam terburuk dalam negara sebelum ini. FOTO NSTP
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

KUTIP mayat bayi perempuan yang ditemui hanyut terdampar di tebing sungai sebelum dibungkus menggunakan daun pisang.

Itu antara pengalaman menyayat hati sukar dilupakan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), Sarjan Idris Adnan, 59, yang pernah menyertai operasi menyelamat mangsa tragedi besar Pos Dipang, Kampar, Perak, 23 tahun lalu.

Walaupun bencana banjir lumpur yang berlaku pada jam 6 petang, 29 Ogos 1996 itu semakin dilupakan namun hatinya akan tersentuh berikutan tarikh kejadian berlaku dua hari sebelum sambutan Hari Kemerdekaan.

Baginya, detik penuh debaran sewaktu operasi mencari mangsa banjir lumpur itu masih segar di ingatan. Banjir lumpur yang berlaku itu meragut sebanyak 44 nyawa Perkampungan Penempatan Orang Asli Pos Dipang.

IDRIS Adnan. FOTO NSTP
IDRIS Adnan. FOTO NSTP

Idris berkata, dia yang ketika itu berkhidmat di pejabat Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dihantar menaiki bas bersama kira-kira 50 anggota sukarelawan JPA3 bagi membantu operasi mencari dan menyelamat bersama pelbagai agensi lain.

“Ketika sampai di lokasi kira-kira lima kilometer dari tapak tragedi, keadaan gelap gelita berikutan jam menunjukkan waktu 9 malam. Bas yang kami dinaiki berhenti berhampiran jambatan Sungai Dipang menuju ke lokasi tragedi.

“Ketika itulah lampu bas secara tidak sengaja menyuluh ke arah mayat bayi terdampar tidak jauh dari jambatan. Kami segera turun untuk mengambil mayat bayi itu sebelum dibungkus daun pisang berikutan tiada kelengkapan sesuai dibawa ketika itu.

“Bayi itu kemudian diserahkan kepada pihak polis bertugas sebelum dihantar ke Hospital Kampar,” katanya.

PENDUDUK turut membantu pasukat penyelamat membawa keluar mayat mangsa. FOTO NSTP
PENDUDUK turut membantu pasukat penyelamat membawa keluar mayat mangsa. FOTO NSTP

Katanya, bencana berlaku dua hari sebelum rakyat Malaysia menyambut ulang tahun hari kemerdekaan negara kali ke-39.

“Saya berada di tapak tragedi selama hampir dua minggu bagi membantu mencari mayat mangsa yang tertimbus di dalam lumpur tebal, sisa rumah dan kayu balak yang tumbang.

“Tragedi ini antara sejarah hitam negara yang meragut 44 nyawa penduduk sekelip mata. Hanya 39 mayat ditemui manakala lima lagi gagal dikesan sehingga ke hari ini,” katanya.

PENDUDUK turut sama mencari mangsa  di Perkampungan Penempatan Orang Asli Pos Dipang, Kampar. FOTO NSTP
PENDUDUK turut sama mencari mangsa di Perkampungan Penempatan Orang Asli Pos Dipang, Kampar. FOTO NSTP

Katanya, mereka ketika itu bergantung pada buah kelapa untuk menghilangkan dahaga berikutan air sungai berhampiran masih berbau mayat.

“Antara pengalaman tidak dapat dilupakan apabila kami secara tidak sengaja terlihat tangan mayat salah seorang mangsa tertimbus di dalam lumpur ketika mahu mengambil buah kelapa dari pokok yang tumbang.

“Kami segera mengorek kawasan itu sebelum membawa keluar mayat seorang lelaki dewasa. Ketika itu sudah memasuki hari keempat dan bau busuk menyelubungi kawasan tragedi,” katanya.

Dia berkata, walaupun tragedi itu semakin dilupai namun ia menjadi kenangan seumur hidup yang sukar dilupakan.

KEADAAN Perkampungan Penempatan Orang Asli Pos Dipang, Kampar selepas banjir mulai surut. FOTO NSTP
KEADAAN Perkampungan Penempatan Orang Asli Pos Dipang, Kampar selepas banjir mulai surut. FOTO NSTP

Pengalaman sama turut dikongsi Pegawai Pertahanan Awam daerah Kampar, Kapten Jasri Mohd Yusoff, yang terpaksa meredah lumpur setinggi paras lutut untuk mencari mayat mangsa terkorban.

“Bau busuk dan lalat ada di mana-mana ketika itu, Malah saya tidak dapat melupakan detik mayat seorang kanak-kanak ditemui tertimbus di dalam lumpur empat hari selepas kejadian.

“Ketika itu kebanyakan mayat mulai membusuk berikutan terendam di dalam lumpur,” katanya.

Menurutnya, perkampungan Orang Asli Pos Dipang yang mempunyai kira-kira 30 rumah penduduk ketika itu lenyap ditimbus banjir lumpur yang datang dari hulu Sungai Dipang.

JASRI Mohd Yusoff. FOTO NSTP
JASRI Mohd Yusoff. FOTO NSTP

“Kami terpaksa menggali timbunan tanah bercampur lumpur tebal selain mengalihkan pokok tumbang untuk mencari mayat mangsa tertimbus.” katanya.

Difahamkan operasi mencari dan menyelamat ketika itu membabitkan seramai 400 anggota penyelamat terdiri polis daerah Kinta, pasukan bomba dan penyelamat, pasukan 2 Briged Rejimen Renjer Diraja Ipoh, Pasukan 69 Komando Pasukan Polis Hutan (PPH) Ulu Kinta, Batalion Ketiga PPH Bidor, kakitangan Pejabat Daerah Kampar dan JPAM.

Operasi mencari mangsa dihentikan pada hari ke-13 iaitu pada 11 September 1996.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 7:31 AM