SYAFIQ Kyle
SYAFIQ Kyle
Ramlah Zainal


WATAK Ustaz Adam lakonannya dalam drama rantaian popular, Nur dan Nur 2 yang bersiaran di TV3 masih melekat di hati penonton hingga ke hari ini.

Ia pembawa tuah buat Syafiq Kyle apabila kian popular dan menjadi rebutan pelbagai pihak.

Syafiq, 26, menzahirkan rasa syukur menjadi sebahagian daripada keluarga Nur dan Nur 2 kerana tawaran drama dan filem tidak putus diterimanya selepas itu.

“Alhamdulillah, rezeki saya semakin murah. Namun, saya kena memilih agar tidak membawa watak yang lebih kurang sama.

“Saya tidak mahu digelar pelakon hero romantik dalam kisah cinta saja.

“Saya sentiasa mencari kelainan dan kalau boleh mahu berlakon dalam pelbagai genre.

“Pada masa sama, saya mahu beri peluang kepada pelakon muda lain mencuba watak sedemikian,” katanya.

Selepas filem Pusaka kata Syafiq, dia akan berlakon dalam filem genre aksi pada Oktober nanti.

“Saya akan menjalani sesi latihan pada September ini. Buat masa ini saya belum boleh bercerita mengenai projek ini.

“Filem Pusaka pula akan ditayangkan pada Oktober nanti. Manakala, filem Nur 2 pula dijangka memulakan penggambaran pada Februari atau Mac tahun depan,” katanya.

Pada masa sama, kata Syafiq, impian untuk beraksi dalam teater kesampaian menerusi Teater Malayu-Pawana Isabella yang dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya bermula 21 Ogos lalu hingga 31 Ogos ini.

“Diakui ia naskhah berat tetapi banyak ilmu saya raih dalam teater ini. Jika ada tawaran berlakon teater lagi, saya akan mempertimbangkan naskhah yang lebih ringan dan menghiburkan,” katanya.

Perkembangan lain, Syafiq terbabit dalam Festival Perlumbaan Toyota Gazoo dan dilantik sebagai duta 100 Plus.

SYAFIQ Kyle ketika Pementasan Teater Pawana Isabella di Istana Budaya.
SYAFIQ Kyle ketika Pementasan Teater Pawana Isabella di Istana Budaya.

Bangga bawa watak raja

Mengulas lakonannya sebagai raja dalam pementasan Teater Malayu-Pawana Isabella arahan pengarah bersama Erma Fatima dan Naque Ariffin, kata Syafiq, masih banyak kelemahan perlu dibaiki dari semasa ke semasa.

Dalam teater itu, Syafiq bergandingan dengan Janna Nick dan Azar Azmi selaku teraju utama.

“Ia julung kali saya beraksi di pentas teater. Sebagai pelakon, saya akan memperbaiki prestasi persembahan setiap hari seperti di kehendaki watak dan skrip.

“Saya juga banyak menimba ilmu daripada kak Erma Fatima, Naque serta pelakon Jay Iswazir membabitkan teknik, lontaran vokal serta tenaga di pentas,” katanya.

Syafiq berpendapat kejayaan sesebuah pementasan membabitkan kerjasama berpasukan sepanjang lebih sebulan berlatih.

“Saya tidak boleh mementingkan diri sendiri dan peka dengan dialog pelakon lain membabitkan watak Permaisuri Isabella lakonan Janna Nick dan Permaisuri Tishaku (Azar Azmi) serta pembesar negeri.

“Apa yang mencabar adalah menghafal dialog raja membabitkan manifesto negara.

“Saya berlatih setiap hari untuk menghafal dialog dan berasa lega setiap kali selesai babak terbabit.

“Banyak yang dipelajari membabitkan pementasan ini kerana menjiwai watak sebagai raja saya mula nampak kelebihan dan kelemahan bangsa Melayu,” katanya.

Teater ini dimantapkan dengan barisan pelakon seperti Johan Raja Lawak, Ozlynn Waty, Datuk Afdlin Shauki, Datin Paduka Umie Aida, Datuk Ziela Jalil, Shahronizam dan Anas Ridzuan.

Mengulas sisi peribadinya pula, Syafiq tetap dengan pendirian enggan berkongsi perkembangan kisah cintanya dengan pelakon cantik Mimi Lana termasuk perancangan ke jenjang pelamin.

“Saya sudah berkongsi mengenai status sebenar hubungan kami dengan pihak media sebelum ini.

“Justeru, saya berharap diberikan ruang dan sedikit privasi mengenai hubungan kami.

“Saya juga mohon semua pihak menghormati permintaan ini kerana tidak mahu kisah cinta dicampur- adukkan dengan karier seni,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 5:01 AM