ERMA akan ganti Janna untuk pementasan semula Pawana Isabella. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
ERMA akan ganti Janna untuk pementasan semula Pawana Isabella. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Rudy Imran Shamsudin


SELAKU pengarah, Erma Fatima berdepan cabaran getir apabila beberapa bintang utama pentas bangsawan kontemporari Pawana Isabella tidak dapat memberikan komitmen pada pementasan semulanya nanti.

Pawana Isabella yang dipentaskan pada 21 Ogos hingga 1 September lalu, bakal dipentaskan kembali di Panggung Sari, Istana Budaya atas permintaan ramai bermula 13 hingga 19 September ini.

Erma yang dihubungi hari ini berkata, teraju utama Pawana Isabella iaitu Janna Nick dan Syafiq Kyle hanya boleh terbabit hingga 16 September.

“Sampai 16 September saja mereka lapang dan selepas itu kedua-duanya sudah terikat dengan penggambaran. Johan dan isterinya, Ozlyn juga tidak dapat bersama kami kerana terikat dengan komitmen lain.

“Azar Azmi langsung tidak dapat bersama kerana sebelum ini produksi drama 60 episod yang dibintangi sudah banyak memberikan pelepasan,” katanya.

Katanya, dia memang berasa sedih kerana beberapa pelakon asal Pawana Isabella tidak dapat berjuang bersamanya di pementasan semula.

Sepanjang ketiadaan Janna dan Syafiq, watak mereka akan dilakonkan oleh Erma sendiri dan Jay yang sebelum ini memegang watak Begok dalam Pawana Isabella.

Sementara watak Azar akan diganti oleh Datin Paduka Umie Aida.

“Ini memang cabaran besar buat saya, kerana bukan mudah untuk menghafal dialog panjang. Begitu juga dengan Umie Aida,” katanya.

Walaupun berdepan cabaran getir kata Erma, apa juga yang berlaku pementasan Pawana Isabella harus diteruskan dengan jayanya.

Selaku pengarah dia sebaik mungkin akan memastikan setiap perkara berlaku tidak akan mengganggu gugat pementasan teater itu nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 5:56 PM