Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Negeri Sembilan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Negeri Sembilan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim dan Hasbi Sidek


CUACA mendung dan hujan renyai 5.30 petang hari ini di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJ), Seremban, menambahkan lagi suasana suram hari proses bedah siasat terhadap Nora Anne Quoirin, 15.

Difahamkan, proses bedah siasat terhadap remaja warga Ireland itu dijalankan 10 pagi dan selesai selepas mengambil masa proses sehingga tiga jam.

Puluhan petugas media yang membuat liputan kejadian itu berkampung di perkarangan Unit Forensik sejak 8.30 pagi dan difahamkan ada juga datang seawal 5 pagi.

Hujan renyai petang tadi juga memaksa wakil media daripada pelbagai agensi, termasuk dari luar negara mencari tempat berteduh.

Sementara itu, sidang yang dijadualkan diadakan 5 petang tadi oleh ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusof ditangguhkan ke 8 malam ini.

Sehingga 7 malam tadi, wartawan dan jurugambar masih menunggu di perkarangan Unit Forensik untuk sesi sidang media bagi mengetahui keputusan bedah siasat.

Terdahulu, peguam keluarga Nora Anne, Sankaran Nair dilaporkan berkata, laporan bedah siasat itu akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Kebiasaannya, kematian mengejut memerlukan inkues. Saya akan meminta Peguam Negara mempertimbangkan sama ada inkues diperlukan dalam kes ini.

“Buat masa ini, masih terlalu awal untuk menentukan kematian mangsa sama ada wujud unsur jenayah atau tidak, perlu tunggu laporan bedah siasat dikeluarkan sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 7:03 PM