Raja Noraina Raja Rahim


SEPASUKAN pakar patologi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dipanggil untuk melakukan proses bedah siasat mayat remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, pagi ini.

Mereka dilihat tiba di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) dengan menaiki kenderaan HKL pada 9.06 pagi.

Proses bedah siasat mayat Nora Anne itu dijangkakan akan dilakukan pada 10 pagi.

Ketika ini, pekarangan Jabatan Perubatan Forensik HTJS dipenuhi lebih 20 petugas media tempatan dan antarabangsa yang mula berkumpul sejak 6.30 pagi.

Semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, keluarga mangsa mengesahkan yang ditemui di lokasi pencarian di Pantai adalah Nora Anne.

Pengesahan itu diperoleh selepas keluarga membuat pengecaman mayatnya di Jabatan Perubatan Forensik HTJS, malam tadi.

Mayat Nora Anne ditemui di kawasan lurah kira-kira 2.5 kilometer dari resort tempat remaja itu menginap. Ketika ditemui, mayat tidak berpakaian berhampiran anak sungai.

Kawasan mayat berkenaan ditemui itu termasuk dalam liputan kawasan pencarian pasukan SAR sebelum ini.

Nora Anne disedari hilang dari bilik penginapannya di sebuah resort di Pantai, Seremban oleh keluarganya pada 8 pagi, 4 Ogos lalu.

Remaja orang kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 9:42 AM
    Pakar patologi dari HKL tiba di HTJS untuk proses bedah siasat mayat Nora Anne, pagi ini. Foto Iqmal Haqim Rosman
    Pakar patologi dari HKL tiba di HTJS untuk proses bedah siasat mayat Nora Anne, pagi ini. Foto Iqmal Haqim Rosman