ARSYAD ditemani ibunya, Rosziati Mukhtar menatap buat kali terakhir jenazah kakaknya, Alia, 17 dan Alissa, 15, selepas selesai solat jenazah di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Pekan Yong Peng. FOTO Hairul Anuar Rahim
ARSYAD ditemani ibunya, Rosziati Mukhtar menatap buat kali terakhir jenazah kakaknya, Alia, 17 dan Alissa, 15, selepas selesai solat jenazah di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Pekan Yong Peng. FOTO Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


“KAKAK jatuh masa ‘eksiden’, habis merah darah-darah, kakak dah mati,” begitu jawapan jujur seorang remaja lembam yang juga adik kepada dua beradik yang maut dalam kemalangan mengorbankan enam nyawa di Lebuh Alor Gajah - Melaka Tengah - Jasin (AMJ), Jelatang, Melaka, kelmarin.

Arsyad Azahar, 13, yang mempunyai masalah pembelajaran dilihat tidak lekang dengan senyuman tatkala diperlihatkan wajah kedua-dua kakaknya, Alia, 17 dan Alissa, 15, usai solat jenazah di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Pekan Yong Peng, Yong Peng, malam tadi.

Lebih memilukan, dalam keadaan antara faham atau tidak, anak bongsu tiga beradik itu turut dilihat melambaikan tangan ke arah jenazah dua kakaknya sebelum disuruh mencium jenazah berkenaan.

“Cium dekat dahi? Ok, dah,” katanya yang juga dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).

Ketika diajak berbual, Arsyad memberitahu dia akan merindui dua orang kakaknya itu terutamanya bebelan mereka terhadapnya yang suka meminta telefon bimbit untuk bermain permainan.

“Kakak selalu marah sebab Acad (gelaran diri Arsyad) suka minta ‘handphone’ nak main ‘game’. Acad rindu kakak. Dua-dua Acad rindu. Lepas ini Acad tak ada kawan lagi,” katanya.

Arsyad yang bersekolah di kelas pendidikan khas, Sekolah Kebangsaan (SK) Yong Peng berkata, Alissa selalu mengajarnya membuat kerja sekolah.

“Selalu belajar sama-sama. Buat kerja sekolah sama-sama. Alissa ajar Acad. Selalu main pun dengan Alissa,” katanya.

Jenazah dua beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Yong Peng di Yong Peng, malam tadi, selepas disembahyangkan di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Pekan Yong Peng.

Sementara itu, bapa tiri tiga beradik itu, Mohd Ashaari Arsyad, 34, berkata biarpun hanya anak tiri, namun dia sudah menganggap mereka seperti anaknya sendiri.

“Kami memang rapat. Mereka dah macam anak-anak saya sendiri. Walaupun ada yang tinggal dan dijaga nenek mereka, tetapi rumah kami berdekatan, jadi jika ada waktu terluang, memang kami akan luangkan masa bersama, bawa jalan dan sebagainya” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Yong Peng, malam tadi.

Dalam kemalangan 9.30 malam kelmarin, selain Alia dan Alissa, turut maut adalah bapa mereka, Azahar Ahmad, 57, ibu tiri, Halimahtun Aris Padzil, 24, serta ibu saudara, Habibah Ahmad, 62.

Lima beranak itu menaiki kenderaan pacuan empat roda, Isuzu D-Max dalam perjalanan dari Yong Peng ke Brisu, Alor Gajah, untuk bercuti sempena sambutan Aidiladha.

Turut maut, pemandu pacuan empat roda, Mitsubishi Triton, Wang Chow Kuang, 51, manakala anak perempuannya berusia 20 tahun dilaporkan parah.

Berita berkaitan

'Damailah di sana...'

6 maut, 1 parah

[UPDATE] 5 sekeluarga maut tersepit

Berkali-kali salam ibu

Tiada lagi telatah Alia dan Alissa

Nasihat terakhir ayah... [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 11:52 AM