TERTUDUH dibawa ke mahkamah hari ini. FOTO Sharul Hafiz Zam
TERTUDUH dibawa ke mahkamah hari ini. FOTO Sharul Hafiz Zam
Aizat Sharif


TIGA pelajar Tingkatan Tiga dihadapkan di Mahkamah Majistret Alor Setar, hari ini, atas pertuduhan merogol seorang remaja berusia 13 tahun di Pendang, Mac dan April lalu.

Tertuduh, masing-masing berusia 15 tahun dan bersekolah di sekolah sama membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh pertama didakwa dengan empat pertuduhan melakukan seks dengan mangsa di sebuah rumah dan kebun getah di Pendang, pada Mac dan April lalu.

Tertuduh kedua dan ketiga pula didakwa dengan satu dan dua pertuduhan yang sama seperti tertuduh pertama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 376(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fatin Dalilah Khalid, manakala tertuduh diwakili peguam Syed Muhammad Anwar Syed Lokman dan M Puveneswaran.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM6,500 pada tertuduh pertama, tertuduh kedua (RM5,000) dan tertuduh ketiga (RM6,000).

Tertuduh juga tidak dibenarkan mengganggu mangsa serta diarahkan untuk melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 16 Oktober hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan perubatan.

Kesemua tertuduh yang diiringi keluarga dan penjaga masing-masing membayar jaminan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 2:28 PM