Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penyanyi Yuna, 29, tidak menyangka penyanyi popular R & B dari Amerika Syarikat (AS),Usher sudi membalas emel kirimannya sekali gus bersetuju berduet dengannya.

Yuna berkata, dia mengirimkan emel kepada Usher menyatakan hasrat untuk berduet menerusi pengurusnya beberapa bulan lalu, namun tidak mendapat balasan daripada pihak Usher.

“Mereka (Usher) tidak membalasnya untuk tempoh lama hingga saya tak pasti sama ada dia setuju atau tidak. Namun, pada Aidilfitri lalu Usher membalas emel saya dan disertakan sekali dengan rakaman vokalnya,” katanya.

Yuna berkata, lagu duetnya dengan Usher akan dimuatkan dalam album Inggeris terbarunya yang akan berada di pasaran pada Februari tahun depan.

“Buat masa ini saya belum boleh berkongsi tajuk lagu berkenaan. Apa saya boleh katakan, ia berentak R&B 90-an. Ketika menghasilkan lagu ini, saya memang terbayangkan Usher sebagai pasangan duet yang paling sesuai,” katanya.

Album terbabit turut menampilkan komposer dan penerbit tersohor David Foster selaku penerbit eksekutif dan penyanyi popular Pharrell Williams.

Terdahulu, berita mengenai Yuna bakal berduet dengan Usher terbongkar apabila Foster mendedahkan perkara itu dalam sidang media di sini, beberapa bulan lalu.

“Asalnya kami mahu membuat kejutan, tapi nampaknya Foster terlebih dulu mendedahkan cerita itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2015 @ 8:19 PM