JANNA Nick. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
JANNA Nick. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Syanty Octavia Amry

WALAUPUN kini berada di puncak populariti, pelakon, Janna Nick tidak pernah meletakkan harga tinggi untuk sebarang tawaran lakonan yang diterima.

Bagi Janna, 24, tempoh lama berada dalam industri adalah pengalaman bermakna bagi memperbaiki lakonan demi masa akan datang.

“Saya tidak pernah meletakkan harga tinggi. Sejak awal pembabitan dalam bidang seni sehingga hari ini, bayaran untuk saya masih sama.

“Saya juga sering berbincang dengan pengurusan dan meminta mereka mengenakan harga yang setimpal dengan kerja dilakukan,” katanya.

Sementara itu, pengurusan Janna iaitu LOL Entertainment yang diterajui Afeeq Abdul Wahab, mengesahkan bayaran untuk pelakon bawah jagaannya itu tidak pernah dinaikkan.

“Tidak pernah timbul isu kami menaikkan harga artis bawah jagaan kami. Tidak kiralah dia pernah menang anugerah atau tercalon sekalipun, kami masih letakkan harga yang sama.

“Kita ikut seperti apa yang dibincangkan dengan artis. Lagipun, lakonan adalah periuk nasi mereka. Maka, tiada sebab untuk kami menaikkan harga sesuka hati,” katanya.

Berkongsi perkembangan terkini, Janna berkata, dia hanya dapat menerima tawaran menjayakan telefilem kerana perlu fokus terhadap persembahan teater yang bakal dipentaskan pada 21 Ogos depan.

“Saya bakal sibuk dengan latihan teater arahan Erma Fatima, bertajuk Pawana Isabela.

“Bagi menumpukan sepenuh perhatian terhadap teater ini, saya hanya boleh ambil tawaran telefilem kerana penggambarannya ambil masa yang singkat sahaja.

“Insya-Allah, selesai teater barulah saya kembali ke lokasi penggambaran drama bersiri sehingga Februari depan,” katanya.

Selain lakonan, Janna juga bakal tampil dengan single baharu yang akan menampilkan penyanyi lelaki popular sebagai pencipta lagu.

Tidak pernah serik untuk tampil dengan lagu baharu, Janna berharap kolaborasi kali ini membawa kelainan berbanding lagu terdahulu.

“Segala-galanya masih dalam perbincangan dan jika semua berjalan lancar, saya akan masuk studio dalam waktu terdekat untuk mendengarkan lagu berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 6:01 AM