GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman

Yan: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menghantar 24,000 kampit beras untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Othman berkata, penghantaran bantuan bernilai bernilai RM284,000 itu menggunakan empat treler itu sudah mendapat perkenan daripada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bagi membantu meringankan beban mangsa banjir di negeri terbabit.

Katanya, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafuddin Badlishah Sultan Salehuddin berkenan melepaskan konvoi misi bantuan itu di Stadium Darul Aman pada jam 2 petang esok.

"Selain bantuan beras, konvoi misi bantuan juga menghantar klinik bergerak LZNK yang dilengkapi dengan bekalan ubat-ubatan serta peralatan pemeriksaan kesihatan yang akan diuruskan oleh kakitangan perubatan daripada Kedah Medical Centre (KMC)," katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelepasan Benih Ikan Puyu Hibrid di Kampung Padang Lumat di sini, hari ini.

Sehingga malam tadi, media melaporkan banjir besar yang melanda negara sejak Sabtu lalu sudah mengorbankan 27 nyawa.

20 daripadanya di Selangor manakala tujuh orang lagi di Pahang dan jumlah berkenaan dianggap paling tinggi sejak banjir besar pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 2:35 PM