DR Mahathir ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir.
DR Mahathir ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Mohd Husni Mohd Noor


TUN Dr Mahathir Mohamad memaklumkan kerajaan secara dasarnya bersetuju golongan muda berusia 18 tahun berhak mengundi, malah mereka akan didaftarkan sebagai pengundi secara automatik.

Perdana Menteri berkata, pendaftaran secara automatik itu akan dibawa dalam pembentangan di Parlimen bagi pindaan Perlembagaan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

“Kita bersetuju supaya anak muda berumur 18 tahun berhak mengundi dan mereka akan didaftar secara automatik,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya, hari ini.

Mengulas perkara sama, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Perdana Menteri akan mempengerusikan satu mesyuarat bersama pemimpin parti bagi memperkasa belia di Parlimen, Rabu ini.

“Beberapa isu teknikal akan dibincangkan termasuk menyentuh tiga perkara bagi pindaan Perlembagaan iaitu menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18, pendaftaran mengundi secara automatik bagi 18 tahun dan mengurangkan umur calon bertanding kepada 18 tahun.

“Kita sudah maklumkan perkara ini kepada Pejabat Peguam Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, beliau yakin pindaan Perlembagaan bagi perkara berkenaan dapat diluluskan pada sidang Parlimen kali ini.

Syed Saddiq kini sedang membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi bacaan kali pertama. Bacaan kali kedua dijangka pada persidangan Parlimen berakhir 18 Julai ini.

Usul pindaan Perkara 119(1) Perlembagaan itu bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Ia sebahagian janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dan dipersetujui sebulat suara oleh Kabinet pada September tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 9:07 PM