Zatul Iffah Zolkiply


WANITA dicabul lelaki yang berpura-pura menjadi pelanggan dalam kejadian di kedai menjual peralatan memancing di Kuala Terengganu, Selasa lalu.

Kejadian dipercayai berlaku 5.55 petang ketika mangsa berusia 35 tahun bersama rakan sekerjanya sedang menyusun barang di dalam premis berkenaan sebelum didatangi seorang lelaki.

Menurut sumber, mangsa terkejut apabila suspek tiba-tiba memegang dadanya.

Katanya, suspek sekali lagi bertindak biadap apabila cuba memeluk mangsa menyebabkan wanita itu segera keluar dari kedai berkenaan kerana bimbang suspek bertindak lebih agresif.

“Bagaimanapun, suspek dengan selamba masih berada di dalam premis itu dan mangsa hanya masuk semula ke dalam premis itu selepas ada pelanggan lain datang.

“Suspek meninggalkan premis itu tidak lama kemudian dan mangsa hanya membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga semalam kerana mahu menunggu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum menyerahkan rakaman itu kepada polis.

“Suspek yang positif dadah jenis morphine ditahan polis di Kampung Binjai Berambu, Kuala Terengganu, 2 pagi tadi,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Rabiatul Adawiyyah Che Khalid membenarkan suspek direman selama empat hari sehingga Isnin ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 1:06 PM