PELAJAR kelihatan lemah dan mempunyai simptom pening kepala dan loya tekak susulan pencemaran bau di kawasan Pasir Gudang dibawa keluar oleh ambulans dari perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai Pasir Gudang. FOTO Mohd Azren Jamaludin
PELAJAR kelihatan lemah dan mempunyai simptom pening kepala dan loya tekak susulan pencemaran bau di kawasan Pasir Gudang dibawa keluar oleh ambulans dari perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai Pasir Gudang. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Siti A’isyah Sukaimi


KEJADIAN di Pasir Gudang sehingga menyebabkan beberapa sekolah ditutup, disahkan berpunca daripada sisa bahan kimia yang mencemari Sungai Kim Kim pada Mac lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, maklumat berkenaan diperolehi beliau daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang melakukan siasatan di kawasan berkenaan.

“Saya dapat maklumat daripada pasukan bomba iaitu kes ini adalah kes berulang dari Sungai Kim Kim. Saya difahamkan, bahan yang dikenal pasti semasa kes Sungai Kim Kim, diberikan kepada kontraktor untuk dibersihkan dan dihapuskan.

“Bagaimanapun, bahan itu masih belum dihapuskan 100 peratus. Oleh kerana bahan itu terbiar di Pasir Gudang dengan (keadaan) angin dan hujan, ia kembali merebak,” katanya kepada pemberita pada Majlis Jalinan Mesra Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama warga JBPM di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, justeru kerja pembersihan dan penghapusan bahan berkenaan harus dilaksanakan secepat mungkin.

Katanya, selain bomba, Jabatan Alam Sekitar dan kerajaan negeri Johor juga maklum mengenai perkara berkenaan supaya bahan itu dilupuskan serta dihapuskan dengan baik.

“Ia sah bahan sisa kimia yang terdahulu dari Sungai Kim Kim,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, kualiti udara di kawasan yang disiasat oleh pihaknya masih berada pada tahap rendah walaupun ia berada jauh dari Sungai Kim Kim.

“Pihak bomba akan bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar, pihak berkuasa tempatan serta kerajaan negeri Johor terutama sekali dengan exco yang mengambil berat mengenai perkembangan ini.

“Kita akan beri kerjasama tetapi untuk mangsa, kita terus memberi bantuan bersama pihak Kementerian Kesihatan dan saya percaya, kebanyakan daripada mangsa yang dihantar ke hospital sudah pun disahkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Sejak Khamis lalu, media melaporkan berlaku kejadian sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai akibat pencemaran udara di kawasan Pasir Gudang sekaligus menyebabkan berlaku penutupan sekolah.

Kejadian itu juga berlaku selepas kira-kira tiga bulan tragedi pencemaran di Sungai Kim Kim akibat pembuangan sisa toksik yang menjejaskan hampir 6,000 penduduk.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 3:16 PM