Izlaily Nurul Ain Hussein dan Nurul Amanina Suhaini


PENCEMARAN bau dan udara di Pasir Gudang yang berlaku sejak Khamis lalu berbeza dengan insiden pencemaran Sungai Kim Kim, sebelum ini.

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, pencemaran kali ini langsung tiada kaitan dengan insiden berlaku Mac lalu, malah sisa bahan kimia diperoleh daripada insiden Sungai Kim Kim sudah dilupuskan sepenuhnya.

“Pencemaran kali ini sangat berbeza daripada Sungai Kim Kim. Semua sisa daripada kes Sungai Kim Kim sudah diproses dan melalui tempat pelupusan betul.

“Jika Sungai Kim Kim dahulu, puncanya daripada bahan toksik dibuang di dalam sungai dan mengalir, tetapi kali ini, bahan cemar ini didapati tersebar melalui pengewapan akibat cuaca panas dan keadaan demografi Pasir Gudang, selain arus angin monsun barat daya yang bertiup dari selatan dengan sifatnya mencapah,” katanya dalam sidang media di Pusat Gerakan Operasi Pemantauan di Stadium Perbandaran Pasir Gudang di Pasir Gudang, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Sementara itu, Dr Sahruddin menolak untuk mengulas mengenai kenyataan sesetengah pihak yang mengaitkan punca insiden pencemaran kali ini dengan pihak kontraktor dilantik bagi menguruskan sisa bahan kimia Sungai Kim Kim.

“Tentang kontraktor itu, saya tidak mahu komen kerana kita tidak mahu menuduh mereka berkaitan sisa bahan kimia yang belum lupus itu.

“Lagipun hasil siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi berkaitan sudah mengesahkan semua sisa itu sudah dilupuskan pada 8 April lalu,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan berlaku lagi pengewapan yang boleh menjejaskan pencemaran ini, Dr Sahruddin berkata, kerajaan negeri cuba berusaha terbaik untuk menangani isu berkenaan.

Beliau berkata, kemungkinan ada pengewapan itu, tetapi pihaknya akan buat sebaik mungkin keluarkan semua bahan kimia dipercayai mungkin ada kaitan, keluar dari kawasan Pasir Gudang.

“Kerajaan negeri sudah mengeluarkan arahan mandatori untuk memastikan agensi berkaitan tegas dalam membuat penguatkuasaan segera kepada semua kilang berpotensi terhadap gangguan alam sekitar bermula hari ini.

“Kita ada 30 kilang bahan kimia di Pasir Gudang yang kita fokus untuk kita siasat dengan radiusnya pada jarak 15 kilometer daripada lokasi pertama insiden berlaku.

“Siasatan akan dibuat dan jika didapati bahan kimia di kilang hampir sama dengan bahan kimia yang menjadi punca kepada insiden ini, kita akan arahkan tutup operasi,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 8:01 PM
DR Sahruddin (tengah) bersama Dr Dzulkefly (kiri) dan Isnaraissah Munirah (kanan) ketika sidang media mengenai pencemaran udara yang berlaku di Pasir Gudang, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim.
DR Sahruddin (tengah) bersama Dr Dzulkefly (kiri) dan Isnaraissah Munirah (kanan) ketika sidang media mengenai pencemaran udara yang berlaku di Pasir Gudang, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim.