MUHAMMAD Haiman Danish muncul juara hafazan al-Quran dan melaungkan azan Subuh pada Majlis Tilawah al-Quran, Karnival Nasyid dan Aktiviti Moral Murid Pendidikan Khas Daerah Hulu Langat 2018 di Kajang, kelmarin. FOTO Zunnur Al Shafiq
MUHAMMAD Haiman Danish muncul juara hafazan al-Quran dan melaungkan azan Subuh pada Majlis Tilawah al-Quran, Karnival Nasyid dan Aktiviti Moral Murid Pendidikan Khas Daerah Hulu Langat 2018 di Kajang, kelmarin. FOTO Zunnur Al Shafiq
Garret Dawum


“WALAUPUN dilahirkan dalam keadaan tidak boleh melihat dengan jelas, saya hendak diri dekat dengan al-Quran,” kata Muhammad Haiman Danish Sumardi, 13.

 Katanya, masalah penglihatannya tidak pernah menghalangnya untuk mempelajari al-Quran.

“Ini anugerah Tuhan kepada saya. Tidak dapat melihat dengan jelas bukan bermakna saya tidak boleh membaca al-Quran.

“Saya mula mempelajari al-Quran ketika berusia sembilan tahun dengan bantuan ibu bapa, malah nenek saya, Latifah Ibrahim juga banyak mengajar saya mengaji,” katanya ketika ditemui pada Majlis Tilawah al-Quran, Karnival Nasyid dan Aktiviti Moral Murid Pendidikan Khas Daerah Hulu Langat 2018 di Kajang, kelmarin.

Pada majlis diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kajang Utama itu, dia muncul johan untuk dua kategori iaitu hafazan al-Quran dan melaungkan azan Subuh.

Seramai 345 murid dan pelajar pendidikan khas dari 28 sekolah rendah serta menengah menyertai pertandingan tilawah al-Quran, hafazan al-Quran, bercerita kisah daripada al-Quran, syarahan agama, khat jawi, azan Subuh, nasyid dan aktiviti mewarna serta melukis pendidikan Moral.

 Muhammad Haiman berkata, minatnya terhadap al-Quran semakin mendalam apabila selalu mendengar orang mengaji di masjid berdekatan rumahnya di Seksyen 1, Bangi termasuk diperkenalkan dengan al-Quran Braille di sekolahnya, SMK Kajang Utama.

“Dengan adanya al-Quran Braille, saya mempunyai peluang untuk mengenali al-Quran lebih dekat.

“Saya sering menghabiskan masa terluang di sekolah dengan membaca al-Quran dan seronok apabila dapat membacanya,” katanya sambil memberitahu mampu menghafal beberapa surah di dalam al-Quran.

Sementara itu, Pengerusi Pengelola program yang juga Pengetua SMK Kajang Utama Norehan Abd Sani berkata, program terbabit bermatlamat mendedahkan murid dan pelajar kepada membina sahsiah dan rohani disamping memberikan pengalaman kepada murid pendidikan khas membina keyakinan diri.

“Mereka adalah murid dan pelajar berbakat serta mempunyai tahap keyakinan tinggi. Pertandingan ini sudah semestinya menjadi platform untuk mereka menanam semangat cinta kepada al-Quran selain dapat mengembangkan bakat yang ada,” katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 11:10 PM