Sarah Zulkifli

SAKSI doktor pakar menyangkal semua teori yang dibentangkan Pakar Forensik Patologi United Kingdom (UK), Profesor Dr Shahrom Abd Wahid berhubung kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, dalam rumusannya berkata, teori Dr Shahrom tidak berpadanan dengan corak dan kecederaan dialami mangsa.

Saksi ke-24 inkues kematian Muhammad Adib itu berkata, beliau dan Ketua Jabatan Forensik HKL, Datuk Dr Ahmad Shah Mahmood adalah individu yang melakukan pemeriksaan klinikal dan bedah siasat terhadap Muhammad Adib.

“Teori mengenai kemungkinan berlaku terhadap Muhammad Adib yang dilakukan Dr Shahrom hanyalah memilih kecederaan tertentu pada lengan atas dan kanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Faten Hadni Khairuddin pada prosiding inkues menentukan penyebab kematian Muhammad Adib, masuk hari ke-33 di hadapan Koroner Rofiah Mohamad di Mahkamah Shah Alam.

Menurut saksi sama, teori Dr Shahrom yang dikemukakan juga tidak bersesuaian dengan situasi dan keadaan pada malam kejadian.

“Selain itu, teori berkenaan juga tidak berpadanan dengan tempoh masa cepat dan bagaimana mangsa mendapat kecederaan ketika kejadian itu,” katanya.

Sebelum ini, saksi pakar itu memberikan keterangan di mahkamah dan mengeluarkan teori berkemungkinan Muhammad Adib keluar sendiri dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum terlanggar pintu kiri hadapan van berkenaan dan terjatuh ke hadapan ketika insiden kekecohan itu.

Namun, saksi ke-29, Dr Shahrom hadir ke mahkamah memberikan keterangan dan membentangkan teorinya bahawa Muhammad Adib ditarik keluar, tersepit antara jenang pintu dan pintu hadapan kiri van berkenaan.

Muhammad Adib, yang juga anggota van EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di IJN.

Prosiding inkues bersambung esok dengan van EMRS dibawa ke perkarangan mahkamah untuk rujukan.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 9:10 PM