Siti Rohana Idris

IBU kepada mangsa kemalangan di Raub, Sapinah Hussin, 67, tidak dapat menahan sebak ketika jenazah anak dan cucunya tiba di tanah perkuburan di Tumpat, hari ini.

Sebaik, jenazah Hasliza Arini Muhamad @ Hamid, 34, dan, Muhammad Khalish Kautsar Mohd Syaril, 2, diusung untuk disembahyangkan di surau berhampiran Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelaboran, Sapinah dilihat seakan pitam sebelum dipapah orang ramai untuk duduk.

Terdahulu, jenazah dua beranak itu tiba pada 2.05 pagi dengan menaiki ambulans selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Raub, Pahang.

Arwah Hasliza Arini dan anak bongsunya, selamat dikebumikan dalam satu liang, 2.50 pagi tadi.

Hampir 100 saudara mara dan penduduk kampung menghadiri solat jenazah dan pengebumian dua beranak terbabit.

Sapinah bagaimanapun tidak mengiringi jenazah anak dan cucunya untuk disemadikan sebaliknya hanya memerhatikan dari jauh.

SAPINAH menahan kesedihan melihat jenazah anak dan cucunya yang maut akibat kemalangan. FOTO Nik  Abdullah Nik Omar
SAPINAH menahan kesedihan melihat jenazah anak dan cucunya yang maut akibat kemalangan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Tragedi 2.45 pagi semalam turut membabitkan suami Hasliza Arini iaitu Mohd Syaril Sulaiman, 44, serta dua lagi anak mereka, Khaliesah Khairina Mohd Syaril, 7 dan Dhia Afriena Mohd Syaril, 5 yang kini masih menerima rawatan di Hospital Lipis.

Tragedi di Kilometer 348 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu berhampiran Simpang Sungai Ruan, di Raub, Pahang, yang membabitkan kereta Perodua Myvi dan Perodua Kancil itu turut mengorbankan tiga lagi mangsa termasuk seorang bayi perempuan.

Berita berkaitan

Lima maut dua kereta Perodua bertembung

[UPDATE] Hasrat sambut Ramadan bersama tak kesampaian

[UPDATE] Tolong jaga anak saya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 7:30 AM