Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


TONTO langsi. Itu tindakan dilakukan sekumpulan 30 lelaki dipercayai geng tonto yang melindungi sindiket penyeludupan rokok apabila mengepung kenderaan polis yang menjalankan risikan di sekitar pesisir pantai di Rompin, hari ini.

Kumpulan lelaki berkenaan dikatakan bertindak ganas dengan menghimpit kenderaan polis bagi menghalang pihak berkuasa mengekori lori membawa rokok seludup keluar dari daerah ini.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam kejadian 1.30 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin sedang melakukan tugas risikan di pesisir Pantai Bernas, Leban Condong dan Jalan Summerset, Kampung Sembayan, Rompin.

Beliau berkata, ketika risikan dijalankan pihaknya cuba menahan dua lelaki yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan sebelum mereka melarikan diri.

Bagaimanapun, katanya, kenderaan polis kemudian diekori enam kenderaan pacuan empat roda secara mengejut dipercayai bagi menggagalkan usaha polis mengekori empat lori yang membawa ratusan kotak berisi rokok seludup keluar dari kawasan pesisir pantai menuju bandar Rompin.

“Anggota kami yang dikepung serta dihimpit kenderaan tonto berkenaan kemudian berjaya mendapatkan bantuan sebelum tonto terbabit beredar.

“Kami percaya mereka cuba melengahkan kami supaya lori empat lori berkenaan berjaya keluar dari kawasan pesisir pantai,” katanya dalam sidang media di IPD Rompin, hari ini.

Mohd Yusri berkata, bagaimanapun pihaknya berjaya menemui satu lori tiga tan yang ditinggalkan bersebelahan pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuala Rompin yang mengandungi 260 kotak berisi rokok seludup.

Beliau berkata, pihaknya menganggarkan jumlah rampasan bernilai RM208,000 dan dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Pahang dan Johor.

“Kami sedang mengesan dan memburu anggota sindiket ini yang dipercaya rangkaian penyeludupan besar.

“Siasatan awal mendapati nombor pendaftaran lori digunakan adalah palsu,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada pihaknya dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 5:59 PM
ROMPIN 24 APRIL 2019. Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri menunjukkan ratusan kotak berisi rokok seludup yang dirampas dalam sebuah lori 3 tan ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin. NSTP/ MUHD ASYRAF SAWAL
ROMPIN 24 APRIL 2019. Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri menunjukkan ratusan kotak berisi rokok seludup yang dirampas dalam sebuah lori 3 tan ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin. NSTP/ MUHD ASYRAF SAWAL