DUA otai iaitu Rahim Maarof dan Man Bai apabila berjaya menampilkan persembahan bertenaga menerusi Konsert 2V Manbai + Rahim Maarof, Sabtu lalu. FOTO: Jon Ramlan
DUA otai iaitu Rahim Maarof dan Man Bai apabila berjaya menampilkan persembahan bertenaga menerusi Konsert 2V Manbai + Rahim Maarof, Sabtu lalu. FOTO: Jon Ramlan
Ridzuan Abdul Rahman


TERLERAI sudah persoalan mengenai kemampuan dua otai iaitu Rahim Maarof dan Man Bai apabila berjaya menampilkan persembahan bertenaga menerusi Konsert 2V Manbai + Rahim Maarof yang berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia, MaTiC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Biarpun terpaksa bersaing dengan beberapa konsert yang berlangsung serentak pada malam itu, kehadiran lebih 300 peminat sudah dianggap memadai sebagai langkah pertama mereka untuk kembali aktif dalam arus perdana.

Persembahan dimulakan tepat jam 9 malam dengan penampilan Rahim menerusi lagu Syakila dan Kota Kedukaan.

Berhenti seketika, dia kemudian memulakan bicara dengan ucapan alu-aluan kepada peminat dan kemudian meneruskan persembahan dengan lagu Jangan Kau Rayu, Cinta Kristal dan Sensitif.

RAHIM akan berhenti seketika untuk berceloteh dengan peminatnya selepas menyanyikan tiga buah lagu.
RAHIM akan berhenti seketika untuk berceloteh dengan peminatnya selepas menyanyikan tiga buah lagu.

Penonton tidak menunggu lama untuk ‘panas enjin’ apabila turut sama menyanyikan lagu Jangan Kau Rayu dan Cinta Kristal yang tersenarai antara lagu popular Rahim pada era 90-an.

Setiap kali selesai menyanyikan tiga lagu, Rahim akan berhenti seketika untuk berceloteh dengan peminatnya. Ada-ada saja topik yang disentuh antaranya sejarah di sebalik rakaman sesebuah lagu. Persembahan kemudian diteruskan lagi dengan lagu Usang, Hipokrasi dan Istana Menanti.

RAHIM masih boleh beraksi lincah biarpun di usia 63 tahun.
RAHIM masih boleh beraksi lincah biarpun di usia 63 tahun.

Kesimpulannya, pada usia 63 tahun, Rahim masih boleh beraksi lincah di atas pentas dan memberikan persembahan bertenaga serta menghiburkan.

Giliran Man Bai pula tampil di atas pentas selepas itu dengan lagu pertamanya, Sendiri dan Sunyi.

Lagu pertama mungkin kurang dikenali peminat. Namun, mereka tidak perlu disuruh untuk sama-sama menyanyikan lagu Sunyi.

Selepas berceloteh dengan peminat, persembahan diteruskan lagi dengan lagu Positif, Sebenarnya, Bayangan Mimpi dan Bersama Suara Hati.

Kemudian mereka dihiburkan pula dengan lagu Gadis Chiangmai dan Tolol. Seperti Rahim, banyak juga celoteh Man Bai berkisarkan lagu dan pengalaman dalam industri.

MAN Bai turut tampil dengan lagu popularnya iaitu Suratan Takdir dan Masih Aku Terasa.
MAN Bai turut tampil dengan lagu popularnya iaitu Suratan Takdir dan Masih Aku Terasa.

Saat yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba apabila dia tampil dengan lagu popularnya ketika bersama kumpulan Gersang iaitu Suratan Takdir dan Masih Aku Terasa.

Seluruh auditorium MaTiC bergema dengan nyanyian peminat yang ternyata amat merindui lagu ini.

Persembahan diteruskan lagi dengan lagu baharu, Saling Mengerti. Ditampilkan pula segmen duet dengan Rahim selepas itu menerusi lagu Airmata dan Falsafah Cinta.

Sudah rezeki apabila komposer dan penyanyi asal lagu ini yang berduet dengan Rahim iaitu Datuk M Nasir turut hadir sebagai tanda sokongan.

Secara spontan, beliau dijemput naik ke atas pentas untuk sama-sama menyanyikannya. Nasir ternyata ‘sporting’ apabila sudi tampil di atas pentas bersama mereka dan menerima tepukan bergemuruh daripada penonton.

Persembahan yang diiringi pemuzik hebat Datuk Acis (piano dan keyboard), Eddie Slam (keyboard), Rozhan (bass), Sotong (dram), Along Exists (gitar utama), Tam Cobain (gitar kedua) dan Mohar (seruling) diakhiri dengan lagu Kau Ilhamku.

Kesimpulannya, konsert anjuran LollipopLiving dengan kerjasama MaTiC ini dianggap berjaya dan pujian wajar diberikan kepada semua pihak yang menjayakannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 6:00 AM