Raja Noraina Raja Rahim


PELAWAK terkenal yang menumbuk dan menendang pengawal keselamatan di Taman Acacia, Nilai, ditahan polis petang tadi.

Difahamkan, lelaki berusia 49 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai ketika hadir untuk memberi keterangan.

Lelaki itu akan direman pagi esok bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar mengesahkan pihaknya sudah memanggil lelaki itu untuk diambil keterangan petang tadi.

Terdahulu, pengawal keselamatan berusia 70 tahun ditendang dan dibaling batu oleh suspek dalam kejadian jam 8 malam Sabtu.

Suspek yang memandu Proton Perdana memasuki kawasan perumahan tanpa kebenaran selepas mengekori kenderaan seorang penduduk di kawasan perumahan berkenaan.

Selepas itu, mangsa menutup palang pos keselamatan dan mengejar kenderaan berkenaan. Selang beberapa minit lelaki itu ingin keluar tetapi tidak boleh kerana palang ditutup.

Lelaki itu turun dari kenderaan sebaik saja mangsa sampai lalu berlaku pertengkaran dan lelaki itu menumbuk muka mangsa sebanyak tiga kali selain menendang pinggang serta membaling batu.

Berita berkaitan

Pengawal keselamatan cedera ditumbuk pelawak [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 10:54 PM