KEADAAN kereta terbabit kemalangan itu. Gambar kecil (Allahyarham Muhammad Firdaus). FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN kereta terbabit kemalangan itu. Gambar kecil (Allahyarham Muhammad Firdaus). FOTO Ihsan PDRM
Raja Noraina Raja Rahim


“ADIK mahu pakai baju putih,” kata Rozi Abdul Rahem, 41, mengenai adik lelakinya Muhammad Firdaus Abdul Rahem, 20, yang maut dalam kemalangan di Jalan Seremban-Kuala Pilah, berhampiran Kompleks Belia dan Sukan Paroi di Seremban, hari ini.

Katanya, permintaan terakhir itu dibuat adiknya semalam, sebelum dia membuat persiapan untuk menghadiri Majlis Konvokesyen GiatMARA yang diadakan di kompleks berkenaan pagi ini.

Menurut Rozi, adiknya yang juga pelajar GiatMARA Seremban bersama bapa dan menaiki kereta Honda City dari rumah di Ampang, Selangor untuk ke Seremban.

“Saya dapat tahu kejadian daripada bapa yang menghubungi saya kira-kira jam 7.30 pagi. Ketika itu, saya tidak tahu keadaan adik dan segera bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, hanya emak dan bapa yang masih di lokasi manakala adik sudah dibawa ke hospital dengan ambulans. Ketika itu, baru saya tahu adik sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di Seremban, hari ini.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dia berasa terkilan kerana tidak dapat ikut sama ke konvokesyen adik bongsunya itu kerana tuntutan kerja menyebabkan hanya orang tuanya menemani Muhammad Firdaus.

Dia yang menetap berhampiran rumah keluarganya berkata, kali terakhir dia bertemu Muhammad Firdaus semalam dan arwah kelihatan sangat gembira seolah tidak sabar untuk menghadiri majlis konvokesyen.

“Arwah seorang yang rajin dan tidak suka menyusahkan keluarga. Dia melakukan pelbagai kerja sampingan untuk menampung yuran pengajian kerana tahu keluarganya bukan orang senang.

“Kami sekeluarga sangat terasa kehilangan arwah tetapi kami reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya jenazah Muhammad Firdaus dibawa pulang ke Ampang untuk dikebumikan selepas solat Zohor.

Berita berkaitan

Maut dalam dakapan ibu bapa

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 3:29 PM