ANNA ambil pendekatan buat tidak tahu terhadap komen negatif dilemparkan netizen. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
ANNA ambil pendekatan buat tidak tahu terhadap komen negatif dilemparkan netizen. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Sudirman Mohd Tahir


PERTANDINGAN Dewi Remaja 2018/2019 mencatat sejarah apabila mahkota kemenangan yang diraih Haneesya Hanee ditarik balik selepas 72 jam diumumkan sebagai juara.

Semuanya disebabkan rakaman video memaparkan dirinya dengan dua lagi finalis iaitu Fazreen Fazera dan Erni Shahira berhibur di sebuah pusat hiburan tular di Internet.

Namun, di sebalik insiden itu, nama seorang lagi finalis iaitu Anna Jobling turut hangat diperkatakan apabila dia dituduh menjadi dalang kepada penyebaran video berkenaan.

Anna, 19, yang juga pemenang tempat keempat menafikan dirinya terbabit sekali gus menganggap tuduhan itu adalah fitnah yang sengaja dilemparkan ke atas dirinya.

Enggan membiarkan perkara itu terus menghantui diri, Anna nekad melangkah lebih jauh dalam bidang seni. Satu persatu kerjaya direncana supaya dapat merealisasikan impiannya menjadi artis yang berjaya.

“Pada awalnya, saya agak tertekan dengan kontroversi ini. Namun, melihat dari sudut yang positif, perkara sebegini mampu mematangkan saya.

“Saya sudah tidak lagi membaca komen negatif yang ditinggalkan di laman sosial. Walaupun masih ada yang mengecam, saya buat tidak tahu saja. Lagipun, kalau saya tak baca, tidak akan sakit hati,” katanya.

Anna berkata, kontroversi awal yang dilaluinya sedikit sebanyak memberi persiapan kepadanya untuk terus berada dan bertahan dalam industri hiburan.

“Apa yang berlaku membuatkan saya menjadi lebih berhati-hati dari semua aspek terutama dalam mempercayai orang di sekeliling,” katanya.

Pada masa sama, Anna berkongsi perkara yang berlaku membuatkan dia terganggu apabila masyarakat memandang serong gelaran Dewi Remaja yang dimiliki.

“Selepas program ini kalau boleh nak terus berkawan dan sama-sama berjaya dalam industri hiburan, tetapi apabila perkara ini berlaku, ia turut membabitkan saya

sedangkan saya perlu menjaga imej dan menjadi contoh kepada remaja dan

masyarakat amnya.

ANNA Joblin. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
ANNA Joblin. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.

“Namun, perkara ini membuatkan kami menjadi sebaliknya. Kami sudah tak nampak seperti contoh yang baik. Persepsi masyarakat sedikit berubah dan ia menyedihkan saya,” katanya.

Seperkara yang dipelajari daripada apa yang berlaku termasuk penyertaannya dalam pertandingan itu adalah perlu berusaha dan bekerja keras jika mahu berjaya.

“Pada usia 16 tahun, saya mula mengenali jenama Dewi Remaja, tetapi tidak anggap pertandingan ini sebagai sesuatu yang besar. Apabila saya sendiri menyertai pertandingan dan bertanding dengan peserta lain, baru sedar impak program berkenaan.

“Saya belajar banyak perkara. Antaranya, perlu bersusah-susah dulu sebelum mengecapi kesenangan. Dalam pada itu, jika gagal dalam percubaan pertama, tidak bermakna akan gagal untuk percubaan seterusnya,” katanya.

Tingkat penguasaan bahasa Malaysia

Bercerita mengenai perancangan kerjayanya, Anna meluahkan rasa bertuah apabila diberi kepercayaan mengendalikan program karpet merah, E! Show sempena Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL33), baru-baru ini.

Walaupun perasaan gembira dan gemuruh bercampur baur, Anna menjadikan peluang itu sebagai platform untuk terus mengembangkan bakat dalam bidang pengacaraan.

“Saya teruja, terharu dan berbesar hati kerana diberi peluang menjayakan program itu. Pada malam itu, saya berpeluang menemu ramah beberapa nama besar seperti Dayang Nurfaizah dan Sufian Suhaimi.

TERUS mengembangkan bakat dalam bidang pengacaraan. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
TERUS mengembangkan bakat dalam bidang pengacaraan. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.

“Bergelar pengacara adalah impian saya sejak dulu. Jadi, apabila diberi peluang seperti ini, saya berasa sungguh bersyukur,” katanya.

Namun, Anna mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki dalam menguasai bahasa Malaysia.

“Saya sedar, penguasaan bahasa Malaysia saya agak kurang berbanding Inggeris. Insya-Allah, pada masa akan datang, saya akan cuba pastikan mampu bertutur dalam bahasa Malaysia dengan fasih,” katanya.

Dalam bidang lakonan pula, Anna sudah menjalani beberapa sesi uji bakat untuk berlakon drama dan berharap dapat menempa nama sebagai pelakon.

“Selain mengacara, saya juga mahu mengintai peluang dalam bidang lakonan. Saya percaya syarikat pengurusan Mask Team mempunyai perancangan terbaik untuk saya,” katanya.

Diusik mengenai paras rupa miliknya yang menjadikan ia satu kelebihan untuk diterima dalam bidang seni, Anna berkata, dia mahu mempertaruhkan bakat.

“Apa yang penting adalah bakat yang ingin diketengahkan, bukan paras rupa. Disebabkan itu, saya perlu mahir dalam bidang lakonan. Jadi, saya merancang belajar dan memasuki kelas lakonan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 6:32 AM