BAYI lelaki yang selamat dilahirkan menerusi pemindahan rahim. - Agensi
BAYI lelaki yang selamat dilahirkan menerusi pemindahan rahim. - Agensi
Agensi

BEIJING: Demi mahukan anak, seorang ibu sanggup berkorban apa saja termasuk mendermakan rahimnya hingga membolehkan anaknya berpeluang menyambut bayi lelaki pertama dilahirkan dengan kaedah itu di China.

South China Morning Post melaporkan Yang Hua, 26, menjadi wanita pertama menjalani pemindahan rahim tiga tahun lalu di China dan selamat melahirkan bayi lelaki menerusi pembedahan Caesarean pada Ahad lalu.

Yang dikatakan hampir 34 minggu hamil ketika melahirkan bayi seberat dua kilogram itu di Hospital Xijing di Xian, barat laut wilayah Shaanxi.

Dua tahun sebelum itu, doktor menyiasat punca dia tidak mengalami haid dia tidak mempunyai faraj atau rahim, walaupun ovarinya berfungsi baik.

Dia yang teringin untuk menimang anak diberitahu doktor bahawa pemindahan rahim adalah satu-satunya cara yang ada dan ibunya yang berusia 43 tahun kemudian bersetuju untuk menjadi penderma.

Sepasukan doktor terdiri daripada 38 pakar diketuai ketua Ginekologi dan Obstektrik Hospital Xijing, Chen Biliang melakukan pembedahan itu termasuk membentuk kemaluan dan mempunyai 14 embrio yang diambil dari telurnya.

Selepas lima kali cubaan, dia akhirnya hamil dan menyambut kelahiran bayinya ke-14 yang dilahirkan menerusi kaedah pemindahan rahim di dunia.

Yang kini merancang untuk mendapatkan anak kedua.

Sementara itu, Chen berkata, kejayaan melakukan prosedur pembedahan rumit itu akan menjadi kajian kes untuk pembedahan sama pada masa akan datang, sekali gus memberi harapan kepada wanita lain yang ingin hamil.

Pasukan itu juga sudah melaksanakan prosedur kedua membabitkan wanita berusia 29 tahun dari selatan wilayah Guangdong pada Disember 2017.

Wanita itu juga menerima rahim dari ibunya yang berusia 51 tahun dan berusaha untuk hamil menerusi rawatan kesuburan di hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 6:30 AM