AFP

RIYADH: Peguam negara Arab Saudi mahu hukuman mati dikenakan terhadap lima daripada 11 tertuduh yang didakwa membunuh wartawan Jamal Khashoggi dalam perbicaraan berprofil tinggi yang bermula di sini, kelmarin.

Peguam negara dalam satu kenyataan berkata, semua tertuduh hadir bersama peguam mereka dalam perbicaraan berkenaan.

Bagaimanapun, nama semua tertuduh itu tidak disiarkan secara rasmi.

Media Turki sebelum ini menyiarkan nama 15 lelaki yang dipercayai kumpulan yang dihantar untuk membunuh wartawan itu di kedutaan Arab Saudi di Istanbul.

Tujuh daripada kumpulan lelaki itu adalah pengawal keselamatan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman. Putera itu menafikan dia memberi arahan untuk membunuh Jamal.

Tidak dapat dipastikan sama ada nama yang disiarkan media Turki itu hadir ke mahkamah.

Pendakwa raya juga memberitahu pihaknya menghantar satu permohonan bagi meminta bukti yang diperoleh Turki berhubung pembunuhan yang berlaku pada 2 Oktober lalu tetapi Ankara masih belum memberi maklum balas.

Jamal yang menulis kolum di Washington Post sering mengkritik Putera Mahkota Arab Saudi.

Lelaki itu hilang ketika masuk ke bangunan kedutaan Arab Saudi untuk mendapatkan dokumen bagi membolehkan dia berkahwin dengan tunangnya.

Siasatan polis Turki merumuskan Jamal dibunuh tidak lama selepas masuk ke bangunan berkenaan dan mayatnya dihapuskan oleh anggota skuad pembunuh yang dihantar Arab Saudi.

Arab Saudi pada mulanya menafikan pembunuhan itu tetapi menukar kenyataan dengan mendakwa Jamal mati dalam pergaduhan. Arab Saudi juga tidak memberitahu di mana mayat mangsa berada.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 7:57 AM