ANGGOTA AADK membuat pemeriksaan di sebuah hotel pada Operasi AADK dan JAWI pada Ambang Tahun Baharu 2019 di sekitar Kuala Lumpur.
ANGGOTA AADK membuat pemeriksaan di sebuah hotel pada Operasi AADK dan JAWI pada Ambang Tahun Baharu 2019 di sekitar Kuala Lumpur.
Hasbi Sidek


KUALA LUMPUR: Pesta dadah dalam bilik hotel sambil ditonton tiga kanak-kanak. Itu penemuan mengejutkan sepasukan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Lumpur yang menyerbu sebuah bilik hotel di Jalan Pudu, dekat sini, awal pagi semalam.

Siasatan mendapati bilik hotel itu dijadikan tempat tinggal sekumpulan lelaki dan wanita sejak empat bulan lalu untuk menagih dadah beramai-ramai

Dalam pemeriksaan jam 1.30 pagi semalam, pihak AADK Kuala Lumpur di bilik berkenaan bersepah dan dipenuhi barangan milik penyewa.

Lebih menyedihkan, bilik berkenaan turut didiami tiga kanak-kanak berusia setahun, dua tahun dan sembilan tahun.

Mereka anak kepada dua wanita berusia 19 tahun dan wanita warga Indonesia berusia 20-an yang turut menghuni bilik sama.

Ketika pemeriksaan, terdapat 10 individu membabitkan tiga wanita termasuk remaja berusia 15 tahun dan tujuh lelaki selain tiga kanak-kanak lelaki.

Pemerhatian di bilik berkenaan turut menemui banyak plastik lutsinar dan penyedut minuman yang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.

Di atas meja di bilik itu juga terdapat ‘dapur’ yang digunakan untuk menghisap dadah selain penemuan sisa serbuk putih dipercayai dadah jenis methaphetamine.

Soal siasat lanjut mendapati dua daripada mereka adalah suami isteri bersama seorang anak, manakala yang lain tidak mempunyai ikatan perkahwinan atau keluarga.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK Kuala Lumpur, Mohamad Hanif Omar berkata, hasil ujian air kencing terhadap semua individu itu mendapati empat lelaki dan dua wanita positif dadah methaphetamine.

“Hasil soal siasat, mereka mengaku tinggal di hotel berkenaan sejak empat bulan lalu dengan kadar sewa RM100 sehari.

 ANGGOTA AADK menahan beberapa  remaja di sebuah hotel dalam Operasi AADK dan JAWI pada Ambang Tahun Baharu 2019.
ANGGOTA AADK menahan beberapa remaja di sebuah hotel dalam Operasi AADK dan JAWI pada Ambang Tahun Baharu 2019.

“Pelbagai peralatan untuk membungkus dan menghisap dadah ditemui, namun pemeriksaan lanjut tidak menemui sebarang dadah di bilik itu. Tiga daripada lelaki di dalam bilik itu warga Indonesia,” katanya ketika ditemui sejurus operasi.

Beliau berkata, semua penghuni bilik itu ditahan untuk tindakan lanjut manakala tiga kanak-kanak terbabit diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mohamad Hanif berkata, dalam operasi yang tamat jam 5.30 pagi, pihaknya turut memeriksa lima hotel bajet di sekitar Pudu dan Chow Kit yang dikenal pasti dijadikan tempat untuk melepaskan gian.

“Secara keseluruhan kami menahan 16 individu terdiri daripada 13 lelaki dan tiga wanita, dengan 15 daripada mereka didapati positif dadah jenis methaphetamine dan seorang positif ganja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 8:21 AM