Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEORANG ibu tergamak membiarkan tiga anaknya hidup di rumah yang dipenuhi sampah dan dalam keadaan terabai.

Malah rumah itu juga dijadikan sebagai 'port' untuk dia dan rakan melepaskan gian dadah.

Difahamkan suami wanita itu yang juga penagih dadah kerap meninggalkan mereka sekeluarga di rumah.

Wanita berusia 30-an itu ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Petaling dalam Operasi Bersepadu di Kota Damansara, semalam.

Jiran yang enggan dikenali berkata, keadaan tiga anak wanita berkenaan yang berusia antara 6 hingga 9 tahun sangat terabai dan tidak terurus.

"Anak-anaknya sering meminta makanan kepada kami apabila mereka kelaparan.

"Kami sudah biasa dan penghuni di sini juga sama-sama membantu kanak-kanak berkenaan," katanya.

WANITA yang menjadikan kediamannya ‘port’ dadah ditahan penguat kuasa AADK. (Gambar kanan) Keadaan dapur keluarga itu. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
WANITA yang menjadikan kediamannya ‘port’ dadah ditahan penguat kuasa AADK. (Gambar kanan) Keadaan dapur keluarga itu. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Sementara itu, Ketua Pegawai AADK Daerah Petaling, Mazlina Kassim berkata, serbuan dijalankan hasil risikan dan maklumat awam.

"Ketika serbuan dijalankan terdapat seorang lelaki yang mendakwa rakan kepada wanita berkenaan berada di dalam bilik di rumah berkenaan.

"Kedua-dua individu berkenaan ditahan dan dibawa ke pejabat AADK daerah untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah, Rawatan dan Pemulihan 1983," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 2:44 PM