NAUFFAL menderita akibat masalah injap bocor pada saluran jantung.
NAUFFAL menderita akibat masalah injap bocor pada saluran jantung.

Norizuan Shamsuddin

[email protected]

KUALA LUMPUR: “Nauffal baru saja menjalani pembedahan di bahagian mulut untuk buang gigi rosak kerana jangkitan kuman di Hospital Pulau Pinang, Khamis lalu.

“Selain itu, dia kemungkinan perlu menjalani pembedahan bagi injap jantung dengan anggaran kos RM35,000,” kata Nurul Atiqah Nordin, 26, ibu kepada Nauffal Kamarul, 8, ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, dia masih menunggu keputusan Institut Jantung Negara (IJN) untuk tarikh pembedahan berkenaan.

“Untuk itu, kami terpaksa ulang-alik ke IJN di Kuala Lumpur dan Hospital Pulau Pinang setiap bulan bagi rawatan dan ubatan anak,” katanya.

Anak sulung dari tiga beradik itu disahkan menderita akibat masalah injap bocor pada saluran jantung sejak dilahirkan pada April 2010.

Nauffal juga dikesan mengalami jangkitan kuman pada bahagian mulut sejak enam bulan lalu dan sudah menjalani pembedahan di Hospital Pulau Pinang.

Menurut Nurul Atiqah, sejak Nauffal dikesan mengalami masalah pada saluran jantung, keluarganya perlu membawa anaknya ke IJN setiap bulan untuk pemeriksaan dan rawatan.

“Kami dimaklumkan dia perlu menjalani pembedahan bagi membaiki saluran jantung, tetapi masih menunggu keputusan daripada IJN.

“Bagi pembedahan itu, saya dimaklumkan IJN akan membiayai separuh daripada jumlah kos berkenaan manakala selebihnya kami sedang usahakan dengan memohon bantuan zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya yang menetap di Selama, Perak.

Bagaimanapun Nurul Atiqah dan suaminya, Mohd Sulaiman Sulan, 31, menghadapi masalah kewangan kerana perlu ulang-alik ke IJN dan Hospital Pulau Pinang setiap bulan.

“Setiap bulan untuk ke dua lokasi terbabit memerlukan kos sekurang-kurangnya RM750 bagi pengangkutan dan kos itu tidak termasuk penginapan sekiranya anak ditahan di wad.

“Kami ada dapat bantuan dari Baitulmal dan JKM sebanyak RM550 setiap bulan, tetapi bantuan itu tidak mencukupi.

“Suami pula tidak mempunyai pekerjaan tetap kerana dia mempunyai masalah tulang belakang sejak 2013 selain perlu meluangkan masa untuk rawatan Nauffal,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga Nauffal boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional milik Mohd Sulaiman, 0800441000126957.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 7:53 AM