KEBIASAANNYA rawatan secara pembedahan dilakukan bagi membantu pesakit jantung kongenital.
KEBIASAANNYA rawatan secara pembedahan dilakukan bagi membantu pesakit jantung kongenital.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Penyakit jantung kongenital adalah masalah struktur jantung yang wujud sejak dilahirkan.

Ia membabitkan beberapa masalah jantung berbeza yang boleh mempengaruhi fungsi jantung.

Malah, penyakit itu juga dianggap antara jenis kecacatan kelahiran yang paling lazim dan di Malaysia ada kira-kira 4,000 kes penyakit jantung kongenital setiap tahun.

Kebiasaannya, rawatan secara pembedahan dilakukan bagi membantu pesakit jantung kongenital.

Namun, seperti yang diketahui, kaedah itu sedikit sebanyak meninggalkan kesan trauma kepada pesakit.

Justeru, bagi membantu pesakit jantung kongenital di negara ini, Institut Jantung Negara (IJN) memperkenalkan prosedur rawatan baharu yang tidak memerlukan pembedahan.

Prosedur terapi penggantian transcatheter pulmonary valve (TPV) itu adalah kaedah bukan pembedahan yang bertujuan memulihkan fungsi injap pulmonari.

Ia khusus untuk kanak-kanak dan dewasa yang menghidap penyakit jantung kongenital serta penyakit injap pulmonari yang memerlukan penggantian injap atau tiub saluran (conduit).

Ketua Pediatrik dan Pusat Jantung Kongenital, IJN, Dr Marhisham Che Mood berkata, ini kerana injap pulmonari penting untuk menyalurkan saluran darah dari jantung ke paru-paru.

Jika injap jantung tidak berfungsi dengan baik, ia boleh menyebabkan seseorang pesakit mengalami sesak nafas, letih dan fungsi paru-paru turut terjejas.

DR Marhisham menunjukkan antara prosedur yang dilakukan.
DR Marhisham menunjukkan antara prosedur yang dilakukan.

Kata beliau, penyakit injap pulmonari biasa berlaku kepada pesakit jantung kongenital, namun sebelum adanya kaedah rawatan bukan pembedahan, pesakit perlu menjalani pembedahan untuk memperbetulkan injap pulmonari yang rosak.

Katanya, pesakit terpaksa menjalani pembedahan semula untuk menggantikan injap atau saluran tiub (conduit) apabila mereka meningkat dewasa.

"Menerusi pembedahan, tiub itu dibuka, ia kemudian digantikan dengan yang baharu dan bersaiz lebih besar.

"Namun, dengan adanya kaedah terapi TPV, doktor boleh menggantikan injap yang rosak tanpa memerlukan pembedahan jantung biasa," katanya pada majlis pengenalan kaedah rawatan baharu itu di IJN, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Yayasan IJN, Toh Puan Datuk Seri Dr Aishah Ong dan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim.

Menurut Dr Marhisham lagi, kos prosedur itu diakui agak mahal, namun Yayasan IJN turut menyediakan geran bantuan kepada pesakit yang memerlukan.

PENYAKIT jantung kongenital adalah masalah struktur jantung yang wujud sejak dilahirkan.
PENYAKIT jantung kongenital adalah masalah struktur jantung yang wujud sejak dilahirkan.

Katanya, sebagai permulaan, tiga pesakit terpilih menjalani kaedah rawatan itu pada Ogos lalu dan kini masing-masing menunjukkan perkembangan memberangsangkan.

"Indikasi pesakit yang dipilih untuk menggunakan kaedah rawatan itu adalah mereka yang pernah menjalani pembedahan jantung sebelum ini selain memiliki berat badan yang sesuai (bayi tidak sesuai).

"Selain itu, keadaan jantung mereka juga banyak diagnosis dan bebas sebarang jangkitan kuman," katanya.

Tambah Dr Marhisham, prosedur rawatan itu juga menjimatkan masa masa pesakit kerana tidak perlu berada dalam wad untuk pemantauan lebih lama.

Kata beliau, pesakit yang menjalani prosedur itu pada Ogos lalu misalnya dibenarkan keluar wad sehari selepas prosedur berkenaan.

"Pesakit juga boleh menjalani kehidupan seperti biasa tanpa perlu menjalani fasa penyembuhan seperti selepas pembedahan utama sebelum ini.

"Lebih penting, mereka tidak lagi berdepan trauma untuk sekali lagi menjalani pembedahan jantung," katanya.

DENGAN adanya kaedah terapi TPV, doktor boleh menggantikan injap yang rosak tanpa memerlukan pembedahan jantung biasa.
DENGAN adanya kaedah terapi TPV, doktor boleh menggantikan injap yang rosak tanpa memerlukan pembedahan jantung biasa.

Sementara itu, Dr Aizai Azan berkata, pengenalan prosedur baharu itu adalah salah satu sasaran pusat perubatan itu yang lebih luas dalam menyediakan rawatan berkualiti kepada rakyat Malaysia.

Kata beliau, penanda aras kualiti juga termasuk cara proses rawatan yang memberi kesan kepada pesakit.

Ia juga adalah salah satu faktor mengapa mereka sentiasa meneroka dan membawa lebih banyak prosedur bukan invasif baharu kepada pesakit di IJN.

"Kami turut berterima kasih kepada Yayasan IJN kerana memberi bantuan geran RM500,000 menerusi Program Bantuan Pesakit bagi membolehkan kami memulakan prosedur baharu menggunakan injap berkenaan.

"Menerusi geran bantuan itu, lima pesakit akan mendapat faedah dan menerima rawatan menggunakan prosedur berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 6:30 AM