DAYANG Areeda masih belum puas berlakon dan sentiasa belajar memantapkan lakonan.
DAYANG Areeda masih belum puas berlakon dan sentiasa belajar memantapkan lakonan.
Ridzuan Abdul Rahman

Daripada watak pembantu sehinggalah kepada watak utama, semuanya sudah dilakonkan Dayang Areeda.

Pembabitannya dalam bidang lakonan yang menjangkau usia enam tahun juga menyaksikan puluhan drama sudah dibintanginya.

Bagaimanapun Dayang Areeda, 27, atau nama sebenarnya Dayang Areeda Datu Abdul Razak akur tuah belum menyebelahinya untuk dikenali ramai.

Justeru, dia meletakkan harapan tinggi terhadap dua drama lakonannya yang ditayangkan menerusi dua stesen TV berbeza dapat mengangkat popularitinya di mata peminat.

"Drama Derita Untuk Bahagia disiarkan menerusi Astro Prima pada jam 6 petang, setiap Isnin hingga Jumaat. Manakala drama Masih Ada Rindu pula menerusi slot Akasia TV3 pada jam 7 malam, setiap Isnin hingga Jumaat.

"Alhamdulillah, ia satu bonus kerana dua drama saya dengan watak yang berbeza, menemui penonton secara berturut-turut," katanya.

Dia mengakui menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan memberikan lakonan terbaik untuk penonton.

"Astro dan TV3 sangat kuat pengaruhnya terhadap penonton. Setiap drama yang ditayangkan mempunyai kelompok peminatnya sendiri.

"Bercakap mengenai slot Akasia, saya mula terbabit di dalamnya apabila membintangi drama Kekasih Paksa Rela. Ternyata penerimaan peminat sangat positif. Kini saya terbabit dengan Masih Ada Rindu pula. Diharapkan ia dapat menaikkan nama saya dan orang lebih kenal saya," katanya.

BERSYUKUR terpilih untuk drama Masih Ada Rindu.
BERSYUKUR terpilih untuk drama Masih Ada Rindu.

Dayang Areeda berkata, dia berharap akan ada lagi tawaran berlakon drama berkualiti dalam slot yang bagus untuknya selepas ini.

"Slot Akasia memang mempunyai pengaruh dalam menaikkan populariti seseorang pelakon. Orang tunggu slot itu. Saya tak segan mengakui masih belum dikenali sepenuhnya. Mungkin saya masih baru dan belum sampai tahap yang betul-betul stabil.

"Sememangnya saya tak puas hati dengan apa yang dicapai. Banyak lagi yang saya kena belajar dan gali ilmu dengan orang sekeliling," katanya.

Dayang Areeda berkata, tempoh enam tahun berada dalam industri hiburan menyaksikan dia bukan mendapat laluan mudah membina nama.

"Diakui saya pernah berlakon watak heroin untuk beberapa drama. Bagaimanapun mungkin orang tak kenal saya kerana slot.

"Justeru, ia sangat penting bagi saya sekarang. Apatah lagi slot Akasia kerana bukan senang nak masuk. Apapun saya sangat bersyukur terpilih sebagai Nasya dalam Masih Ada Rindu. Harap orang dapat terima dan menilai bakat saya. Mungkin ada lagi kekurangan, namun saya cuba untuk baiki," katanya.

Dayang Areeda juga akan melihat pada skrip selepas ini sebelum mengambil tawaran berlakon.

"Saya akan tengok dulu sama ada sesuai atau tak. Namun, saya percaya setiap skrip ada kekuatannya. Selepas ini saya teringin bawa watak aksi. Selalunya saya berlakon drama genre cinta saja. Saya tak pernah buat watak lasak tapi sebagai pelakon kena cuba dan buat sebaik mungkin.

TERINGIN berlakon watak aksi untuk mencabar kemampuan diri.
TERINGIN berlakon watak aksi untuk mencabar kemampuan diri.

"Saya akan ambil kelas untuk genre ini dan dengan cukup persediaan pasti boleh buat," katanya.

Menurutnya, dia juga belum puas berlakon dan teringin mempelbagaikan watak dengan membawakan watak gelandangan dan pelacur serta berbeza dengan yang sering dilakonkan sekarang.

"Saya belum puas kerana lakonan adalah minat saya. Ia dah sebati dengan jiwa. Lakonan adalah sesuatu yang saya suka buat," katanya.

Bercerita aktiviti terkini, Dayang Areeda berkata, dia hanya berehat di rumah memandangkan ketika ini berada dalam Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).

"Penggambaran drama terbaru saya Mr Bibik terpaksa ditangguhkan. Jadi saya hanya amalkan penjagaan kesihatan di rumah dan sebelah petangnya menonton drama lakonan sendiri.

"Dalam masa sama, saya juga buat ulasan produk berbayar di Instagram untuk tambah pendapatan. Tapi dalam situasi sekarang saya tahu ramai peniaga kecil yang terjejas.

"Untuk itu, saya bantu promosikan produk mereka secara percuma di Instagram Story manakala di Instagram Feed pula saya letakkan kadar harga yang rendah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 6:00 AM