DAYANG Areeda.
DAYANG Areeda.
Ardini Sophia Sina


Kanvas seni Dayang Areeda Datu Abdul Razak semakin berwarna-warni apabila dihujani tawaran berlakon.

Bermula dengan drama Pembancuh Kopi Mr Vampire diikuti Semusim Rindu dan Kekasih Paksa Rela, kehadiran anak jati Sabah ini dalam industri hiburan tanah air kian mendapat perhatian.

Percubaan pertama melakonkan watak antagonis dalam Kekasih Paksa Rela menjadi apabila ramai penonton meluahkan rasa benci dan geram terhadapnya.

Maklum balas positif itu membuatkan Dayang semakin teruja membawakan watak gelap. Malah katanya, andai ada tawaran lagi selepas ini dia tidak teragak-agak menerimanya kerana yakin banyak ruang yang boleh diteroka.

“Watak gelap beri lebih kepuasan dan sangat mencabar. Saya gembira apabila ada penonton drama Kekasih Paksa Rela geram dengan sikap Shikin lakonan saya. Ia membuktikan saya berjaya melakonkan watak itu dengan berkesan.

“Kalau diberi peluang lagi selepas ini, saya mahu meneroka lebih banyak teknik bagi menonjolkan sisi gelap karakter itu,” katanya.

Syukur jadual kerjanya padat, pelakon berusia 24 tahun ini tidak kisah bawa watak kecil kerana ia tetap membantu menghidupkan jalan cerita. Malah, dia yakin dirinya akan bersinar apabila tiba masanya.

Sebagai anak seni yang masih merangkak, dia tidak tergesa-gesa mengejar populariti. Malah, Dayang selesa bermula dari bawah dan mendaki perlahan-lahan.

Bercuti dua hari sebelum melangkah ke lokasi seterusnya, Dayang tidak kisah berpenat lelah demi kerjaya dicintainya. Katanya, tempoh itu diperuntukkan untuk membaca dan menghafal skrip serta memahami keseluruhan cerita.

“Dua hari saya gunakan untuk membaca dan menghafal skrip. Saya juga akan cuba fahami keseluruhan cerita dan watak agar lebih mudah ketika penggambaran.

“Dalam tempoh ini jugalah saya akan ‘buang’ karakter yang saya bawa dalam naskhah terdahulu. Kalau tak buang bimbang nanti watak lama dan baharu bercampur aduk.

“Memang penat tetapi saya suka berlakon. Tambahan pula setiap tawaran yang datang itu adalah rezeki. Alhamdullah, setakat ini semuanya berjalan lancar,” katanya.

Menyentuh kontroversi yang membelenggu dirinya apabila dikatakan sudah berkawin secara rahsia pada September tahun lalu dan bergelar isteri kedua, Dayang berkata ia sama sekali tidak berasas.

“Walaupun sudah mempersiapkan diri berdepan dugaan bergelar anak seni, saya terkejut apabila dikaitkan dengan kontroversi ini.

“Bagaimanapun, saya memilih untuk tidak terlalu memikirkannya. Mujur ibu bapa saya berfikiran terbuka. Mereka minta saya tidak layan cerita karut sebegini.

“Saya ikhlas menceburi bidang ini kerana minat. Oleh itu, gosip seperti ini sama sekali tidak mematahkan semangat saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 4:57 AM