SHERRY IBRAHIM. FOTO IG Sherry Ibrahim.
SHERRY IBRAHIM. FOTO IG Sherry Ibrahim.
Sudirman Mohd Tahir


“TAK baik cakap saya ke Korea Selatan dan Bangkok ‘buat’ muka,” kata pelakon Sherry Ibrahim yang menjawab tuduhan segelintir pihak mengatakan dia melakukan pembedahan kosmetik di wajah.

Sherry, 35, atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim berkata dia ke Korea Selatan untuk bercuti dan membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk kecantikan.

Katanya, kunjungan ke Bangkok, baru-baru ini, adalah untuk menonton konsert dan meluangkan masa bersama beberapa rakan baik.

“Beberapa hari ini saya dihujani dengan persoalan tak masuk akal. Saya terkejut apabila ada rakan dan pihak media bertanya saya buat muka atau tidak.

“Macam saya kongsikan sebelum ini, pembedahan kosmetik wajah itu haram. Saya tak buat semua itu. Saya masih tahu halal dan haram.

“Namun, kalau ada yang buat pembedahan atau suntikan, ia hak masing-masing.

“Saya tak layak untuk menilai mereka. Bagi saya, kalau saya ada banyak duit sekali pun lebih baik melabur untuk perniagaan atau beli beg baru,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Sherry berpesan kena ikhlas dan jangan busuk hati jika ingin mendapatkan kecantikan semula jadi.

Selain itu, menurut Sherry, pemilihan produk yang sesuai antara perkara penting bagi mendapatkan kulit wajah cantik dan bersih.

“Kalau nak kulit cantik dan bersih pilih produk yang betul dan rajin jaga kecantikan. Dalam masa sama, di YouTube dan IG jurusolek boleh tengok teknik solekan yang betul.

“Paling penting, hati kena ikhlas, jangan busuk hati dan menipu. Insya-Allah kecantikan terpancar di wajah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 2:10 PM