ALYAH. FOTO Arkib NSTP
ALYAH. FOTO Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir


“SAYA bukan orang yang lari daripada masalah,” kata penyanyi Datin Alyah mengenai keadaan dirinya selepas ‘kekecohan’ yang ditimbulkan di Instagram, tiga hari lalu.

Alyah, 37, atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hassan berkata, dia tetap meneruskan kehidupan dan rutin harian seperti biasa.

“Saya bukan jenis macam itu. Walau besar mana pun masalah saya, saya tetap akan muncul.

“Dari dulu lagi, apa pun kontroversi saya tetap ada,” katanya kepada Harian Metro.

Malah, Alyah yang popular menerusi lagu Sesal Separuh Nyawa berkata, apa yang berlaku bukanlah masalah besar.

“Saya sudah lalui banyak perkara dalam hidup. Tiga hari lalu bukanlah masalah besar. Cuma macam saya katakan, mustahil dalam setahun tak lalui benda buruk dalam hidup.

“Kita manusia dan bukannya robot. Tetapi terpulang sejauh mana kita menerima dan berdepan dengan perkara itu.

“Macam saya, kehidupan diteruskan macam biasa. Saya keluar pandu kereta sendiri, pergi makan, teruskan kerjaya seni dan banyak lagi,” katanya.

Alyah ditemui selepas membuat persembahan pada Jimba Fest Tour anjuran Warner Music Malaysia yang diadakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam malam tadi.

Pada program itu, penyanyi berkenaan menyanyikan lagu Jutaan Purnama dan Kau Milikku dengan penuh penghayatan.

Apatah lagi kedua lagu itu liriknya menceritakan mengenai kisah hidup dan perjalanan dilalui Alyah selama ini.

“Saya lagi seronok. Ditambah dengan sambutan penonton yang sangat ‘happening’. Mereka lebih menghargai saya.

“Jadi, apa pun yang saya lalui, saya tak boleh ‘down’. Kalau mereka tak hargai saya, mereka akan duduk diam saja. Tetapi ini tidak. Disebabkan itu, saya kena berikan yang terbaik,” katanya.

Ditanya mengenai suaminya yang juga pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS, Alyah enggan mengulas lanjut.

“I reserve my comment,” katanya ringkas.

Berita berkaitan

Ajal di LPT2

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 12:38 AM