ALAUDIN melakukan terapi Al Quran. NSTP/EMAIL
ALAUDIN melakukan terapi Al Quran. NSTP/EMAIL
Mahaizura Abd Malik


KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sedang membuat kajian rintis modifikasi teknik terapi ayat al-Quran menggunakan teknologi kejuruteraan bunyi dalam usaha memulihkan individu yang mengalami gangguan halusinasi suara.

Pensyarah Kanan Program Audiologi Pusat Rehabilitasi dan Keperluan Khas Fakulti Sains Kesihatan UKM, Dr Noor Alaudin Abdul Wahab berkata, kaedah terapi itu berpotensi untuk diaplikasikan kepada mereka yang mengalami halusinasi suara.

“Teknik terapi ayat al-Quran ini pada asalnya diperkenalkan Dr Mohd Normani Zakaria dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) yang berjaya menggunakan teknik ini ke atas individu yang mengalami bunyi berdesing dalam telinga (tinnitus).

“Susulan itu, kajian rintis dijalankan dengan melakukan sedikit modifikasi ke atas teknik terapi berkenaan untuk melihat keberkesanannya ke atas mereka yang mengalami halusinasi suara,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, penggunaan muzik dan alam sekitar termasuk ombak tiada nada suara pertuturan dan teknik al-Quran adalah pendekatan baru bagi rawatan alternatif halusinasi.

ALAUDIN melakukan terapi Al Quran. NSTP/EMAIL
ALAUDIN melakukan terapi Al Quran. NSTP/EMAIL

“Alunan ayat al-Quran cukup menenangkan dan akan digabungkan dengan teknologi bunyi lain untuk meningkatkan nada bunyi supaya lebih jelas bagi merangsang batang otak supaya lebih sensitif dan kembali ke arah proses lebih baik,” katanya.

Menurutnya, ramai menganggap halusinasi berlaku kerana gangguan suara dari alam ghaib sedangkan menurut perspektif sains, ia mempunyai kaitan dengan kecelaruan pada bahagian pemprosesan otak.

Beliau berkata, masalah halusinasi adalah sangat kompleks malah di barat juga masih belum ditemui kaedah tepat untuk merawat pesakit.

“Sebab itu UKM berusaha untuk menjadikan alunan al-Quran sebagai kajian rintis dalam usaha mencari penawar bagi pesakit,” katanya.

Dr Noor Alaudin berkata, bahagian otak yang tidak berhubung secara normal dengan batang otak akan mengaktifkan halusinasi yang menyebabkan seseorang mendengar suara lain yang sebenarnya tidak wujud di persekitaran.

Katanya, banyak kajian saintifik dibuat hanya bertumpu di korteks auditori sedangkan halusinasi suara ini membabitkan persepsi pendengaran.

“Jadi sebab itu kajian kami memfokuskan keseluruhan sistem auditori iaitu sistem auditori periferi dan sepanjang laluan sistem auditori pusat di batang otak hingga korteks auditori di otak.

“Berdasarkan teori kajian kami, apabila kawasan itu terganggu ia akan memberi kesan kepada pemprosesan otak yang menyumbang kepada halusinasi suara,” katanya.

Dr Noor Alaudin berkata, pembuktian diperoleh daripada penyelidikan usahasama UKM dan USM bermula 2012 hingga 2016 mendapati 90 peratus daripada 30 pesakit Skizofrenia yang biasanya mengalami masalah halusinasi menghadapi kecelaruan atau gangguan di bahagian batang otak.

“Kita dapati mereka gagal dalam ujian pendengaran ayat perturutan dalam bunyi hingar, ujian penindasan kontralateral otoakustik dan ujian respons auditori batang otak.

“Justeru, kesan daripada kajian itu kita dapati fenomena halusinasi dalam kalangan pesakit skizofrenia tidak hanya membabitkan kecelaruan di otak semata-mata, tetapi juga kecelaruan pemprosesan bunyi di peringkat seawal semasa proses di batang otak lagi.

“Penemuan ini amat penting kerana ia memberikan gambaran awal bahawa terdapatnya rawatan alternatif yang boleh diberikan kepada mereka yang mengalami halusinasi suara,” katanya.

Katanya, secara umumnya, audiologi adalah satu cabang ilmu sains yang mengkaji fungsi sistem pendengaran manusia, namun perkembangan teknologi menyaksikan bidang ini tidak terhad.

“Ia membabitkan penilaian status pendengaran individu, intervensi dan rehabilitasi masalah pendengaran serta preskripsi dan pemasangan alat bantu dengar.

“Namun, perkembangan dan kemajuan dalam instrumentasi dan teknologi sains menyaksikan bidang ini terbabit dalam pengkhususan yang lebih mencabar seperti neuro-audiologi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 11:01 AM