BEKAS Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi. FOTO Osman Adnan
BEKAS Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi. FOTO Osman Adnan
Firdaus HashimZulfaizan Mansor dan Naqib Nor Said & Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: “Sekolah Sukan masih relevan cuma perlukan beberapa penambahbaikan.” Itu pandangan bekas Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi (gambar) berhubung dakwaan ramai bekas graduan sekolah sukan ‘hilang arah’ selepas menamatkan pengajian.

Menurut Kok Chi, sejak kewujudan sekolah sukan di Malaysia pada 1996 dengan Sekolah Sukan Bukit Jalil memulakan operasinya ketika itu, sudah banyak alumni yang berjaya dilahirkan daripada sistem itu yang menyaksikan ada di antara mereka bergelar atlet kebangsaan, pegawai kerajaan, doktor, jurutera, ahli perniagaan dan jurulatih.

Namun, jelas tokoh sukan negara itu, walaupun ia dilihat agak berjaya daripada ‘kaca mata kasar’, beberapa perubahan masih perlu dilaksanakan bagi memastikan tiada pelajar yang keciciran, sekali gus gagal mencari pekerjaan yang diimpikan selama ini.

“Kasihan pelajar yang sudah bertungkus lumus selama lima tahun di sekolah sukan tapi akhirnya gagal berkerja atau melanjutkan pelajaran dalam bidang diinginkannya.

“Jadi, saya kira pihak bertanggungjawab khususnya kerajaan perlu melihat semula sistem ini yang sudah lama dipraktikkan sejak mula-mula dilancarkan dulu.

“Mungkin salah satu penambahbaikan dari segi pengambilan pelajar. Ia harus diperketatkan dengan mereka yang benar-benar berbakat saja dan memiliki akademik bagus, diambil.

“Ia kerana kita mahu melahirkan pelajar yang mempunyai keseimbangan dari segi sukan dan akademik. Kalau boleh kita mahu lahirkan pelajar dan atlet sehebat Datuk Nicol Ann David yang bukan saja hebat di gelanggang, malah turut cemerlang dalam pelajaran,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menerusi laporan eksklusif Sukan NSTP sebelum ini, wujud kepincangan dalam sistem pendidikan sekolah sukan di Malaysia yang menyaksikan ada di antara bekas pelajar sekadar menjadi nelayan, pemandu lori dan pekerja kilang.

Ia kemudiannya mendapat respon positif terutama Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang menjelaskan pihaknya sedia mengkaji penambahbaikan yang boleh dilakukan selain akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Dalam kajian semula itu nanti, saya harap beberapa jenis sukan yang kita tidak kuat seperti bola keranjang dikaji semula pengambilan pelajarnya ke sekolah sukan.

“Sekiranya ada sukan yang kita sedar tidak bagus, lebih baik dimansuhkan dan lepaskan saja kepada MSSM (Majlis Sukan Sekolah-Sekolah) untuk pertingkatkannya. Saya lihat, kita lebih kuat dalam sukan individu seperti badminton, skuasy, bowling, tapi agak lemah dalam sukan berpasukan.

“Baik kita beri lebih tumpuan kepada sukan individu yang dijangka mampu beri pulangan baik kepada negara hasil didikan awal di sekolah sukan, sekali gus dapat mengelak sukan berpasukan yang memerlukan 20 pemain yang akhirnya tidak semuanya daripada mereka berjaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 10:31 AM